
MBMB PANTAU PANTAI KLEBANG, ELAK ‘ULAT PARKIR’ BERLELUASA
AYER KEROH 6 Januari – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengesahkan tiada bayaran parkir dikenakan kepada pengunjung di kawasan pelancongan Pantai Klebang.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, kutipan parkir yang dilaksanakan itu dilakukan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Parkir di kawasan Pantai Klebang tidak perlu dibayar dan adalah percuma selain mendapati pihak yang mengenakan caj RM3 adalah dipercayai ulat parkir.
“Mereka tidak ada kelulusan yang diluluskan oleh pihak majlis untuk berbuat demikian.
“Tindakan ini dipercayai mereka cuba mengambil kesempatan diatas kehadiran pengunjung yang ramai ke Melaka terutamanya pada hujung minggu dan cuti sekolah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Shadan, pasukan penguatkuasa MBMB telah menjalankan pemantauan secara berkala di kawasan Pantai Klebang dan kawasan tumpuan bagi mengelakkan insiden sama berulang.
“Pemantauan secara berkala telah dilaksanakan oleh pasukan penguatkuasa dan dimaklumkan tiada lagi aktiviti kutipan parkir dibuat di kawasan tersebut.
“Selain di Klebang pemantauan penguatkuasaan turut dibuat dibeberapa lokasi lain kerana kita dapati perkara sama turut berlaku di lokasi tersebut,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana pengusaha yang ingin melaksanakan kutipan parkir perlu mendapatkan kelulusan daripada MBMB sebelum operasi kutipan boleh dilakukan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


