
PENDUDUK SOKONG BINA STRUKTUR TELEKOMUNIKASI, LERAI DILEMA ‘LINE SIPUT’
ASAHAN 9 Januari – Rata-rata penduduk Kampung Jus Permai menyatakan sokongan terhadap pembinaan infrastruktur telekomunikasi yang disifatkan mampu menyelesaikan masalah liputan internet yang telah lama membelenggu kawasan berkenaan.
Masalah liputan telekomunikasi dan capaian internet yang lemah menjadi antara masalah utama penduduk di kawasan itu untuk berinteraksi dengan dunia luar selain mengharapkan pembinaan pencawang telekomunikasi di kawasan itu dapat meleraikan dilema yang dihadapi.
Salah seorang penduduk, Ruzana Muhamed, 52, yang menetap lebih 20 tahun di kawasan itu berkata, sesi libat urus kedua yang diadakan bersama penduduk telah berjaya memberi kefahaman jelas mengenai kepentingan pembinaan menara tersebut.
“Saya sokong 100 peratus, ‘line’ internet di sini memang tak ada, anak-anak pun selalu bising sebab internet bermasalah, jadi jika perkara ini (pembinaan pencawang telekomunikasi) untuk kebaikan, saya sokong dan harap ia diteruskan,” kata ibu kepada empat anak itu kepada Melaka Hari Ini.

Nada sama turut dizahirkan seorang lagi penduduk, Meran Md Yusof, 63, yang menyifatkan masalah liputan internet di kawasan itu berada pada tahap kritikal dan menjejaskan urusan harian penduduk.
“Memang dari dulu liputan telekomunikasi bermasalah, malah sekarang makin teruk. Kalau saudara datang (ziarah) pun susah nak dapat ‘line’. Internet ini penting untuk buat kerja dan urusan harian.
“Tetapi sebagai penduduk kita juga tidak mahu isu ini jadi punca pergaduhan, biar diselesaikan dengan baik umpama tarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung jangan berselerak supaya perpaduan penduduk kampung kekal,” katanya yang telah menetap lebih 20 tahun di kampung tersebut.

Sementara itu, pemilik tanah bagi pembinaan pencawang di Kampung Jus Permai, Nur Aziera Abd Rasib, 37, berkata, pembinaan pencawang tersebut diluluskan selepas mempertimbangkan kepentingan penduduk setempat serta penjelasan teknikal yang diberikan pihak Melaka ICT Holdings (MICTH).
Jelasnya, pembangunan infrastruktur telekomunikasi amat penting bagi memastikan penduduk tidak terus ketinggalan dalam arus digital, selain ia berupaya meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat.
“Saya difahamkan MITCH telah melaksanakan penyelidikan dan kajian sebelum memilih lokasi tapak untuk membina pencawang, di mana dimaklumkan tanah milik saya ini merupakan antara lokasi bersesuaian.
“Selepas diberi penerangan berfakta mengenai kelebihan yang lebih banyak berbanding kekurangan pembinaan pencawang ini dilaksanakan, saya memilih untuk menyokong projek pembinaan infrastruktur ini.
“Ini kerana sejak saya remaja lagi masalah telekomunikasi di kampung ini memang teruk, walaupun internet sudah masuk sebelum ini, capaian masih tidak memuaskan saya bersetuju demi memajukan kampung tempat kelahiran saya,” katanya yang bekerja sebagai Pegawai Undang-Undang di sebuah syarikat swasta di negeri ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


