Sorting by

×

MBMB TINGKAT PENGUATKUASAAN ‘ULAT PARKIR’ DI LOKASI TUMPUAN PELANCONG

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 10 Januari – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan meningkatkan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan ‘ulat parkir’ di lokasi tumpuan pelancong dalam kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, langkah itu berikutan pihaknya menerima aduan berkaitan kegiatan berkenaan di beberapa lokasi tumpuan pelancongan utama negeri daripada orang ramai.

Katanya, antara lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘port’ ulat parkir adalah di kawasan Bandar Hilir dan sekitar Masjid Kampung Hulu, selain turut menular ke Pantai Klebang seperti yang tular baru-baru ini.

“MBMB akan terus melakukan pemantauan secara berkala dan tindakan susulan akan diambil dengan segera.

“Oleh itu, orang ramai digalakkan untuk menyalurkan aduan kepada pihak MBMB bagi membolehkan pemantauan dan tindakan diambil kepada pihak atau individu tidak bertanggungjawab mengenakan caj parkir tanpa kebenaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program Jom Ke Sekolah MBMB Tahun 2026 yang disempurnakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shadan turut menjelaskan perbezaan mengenai parkir swasta dan ulat parkir yang menjadi kekeliruan orang awam dan pelancong.

Jelasnya, parkir swasta yang beroperasi di atas tanah milik individu serta mempunyai lesen sah daripada MBMB memang dibenarkan untuk mengutip bayaran.

Namun, berbeza dengan ulat parkir yang kebiasaannya sering mengambil kesempatan kesempatan di atas tanah milik kerajaan, sekali gus menjadi satu kesalahan.

“Kekeliruan masyarakat terhadap dua perkara ini sering berlaku, sedangkan kedua-duanya berbeza dari segi perundangan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

933
Kongsi :
Previous post LEBIH RM600,000 PACU AGENDA PENDIDIKAN HANG TUAH JAYA
Next post 400 KAMPUNG DIPILIH KAMPUNG ANGKAT MADANI TAHUN INI