
WARGA EMAS DI MIRI RUGI RM253,000 AKIBAT PENIPUAN
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata berdasarkan satu laporan polis yang dibuat mangsa semalam, kejadian bermula pada Disember tahun lepas apabila mangsa dihubungi oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai anak kepada rakan mangsa.
Beliau berkata suspek mendakwa mahu meminjam wang kerana bayaran projek yang dijalankan oleh keluarga kenalan mangsa itu tidak dapat dikeluarkan dan telah disekat, selain mendakwa perlu membuat bayaran kepada sebuah bank yang berada di Singapura.
“Bagi meyakinkan mangsa, suspek turut mengemukakan dokumen berkaitan projek yang kononnya wujud, selain berjanji bahawa mangsa akan menerima bayaran melebihi jumlah wang yang dipinjam selepas bayaran projek tersebut diperoleh.
“Terperdaya dengan helah berkenaan, mangsa telah melakukan 41 transaksi pemindahan wang ke empat akaun bank berlainan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Farhan berkata mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan perkara terbabit kepada ahli keluarganya sebelum tampil membuat laporan polis.
Beliau berkata kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


