Sorting by

×

KAKI PANCING RANCAKKAN TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0, VM 2026

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

KLEBANG 12 Januari – Kaki pancing seluruh negara menjadikan Melaka sebagai antara destinasi ‘angling tourism’ pilihan apabila lebih 600 peserta mengambil bahagian dalam Kembara Pancing Melaka yang berlangsung di Tambak Klebang, di sini, semalam.

Pertandingan memancing itu merupakan antara acara yang dirancang dalam membantu merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026).

Menawarkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM40,000, pertandingan itu bukan sahaja menggamit kaki pancing dari Melaka dan negeri berhampiran seperti Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor, bahkan ia turut disertai peserta dari Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Berlangsung selama empat jam bermula dari 9 pagi hingga 1 tengah hari, Tambak Klebang membuktikan lokasi itu sebagai antara lubuk terbaik bagi kaki pancing pantai apabila pelbagai spesies ikan gred A berjaya didaratkan peserta.

Dianggarkan hampir 450 ekor ikan berjaya dipancing sepanjang tempoh pertandingan, antaranya ikan pari, kurau, senangin, gerut, tenggiri, tanda, daun baru dan sembilang.

Di akhir pertandingan menyaksikan ikan mayong seberat 3.985 kilogram (kg) yang dipancing Azini Taslin, 55 dinobat sebagai ikan terberat sekali gus muncul johan pertandingan itu dan membawa pulang wang tunai RM15,000.

Pemancing dari Johor itu berkata, dia datang ke Melaka bersama dua lagi rakan dan menginap di negeri ini bagi menyertai pertandingan tersebut.

Walaupun berdepan kesukaran mendapatkan bekalan umpan segar bagi pertandingan tersebut, namun dia optimis mempertaruhkan umpan udang kopek atau udang mati yang dikupas kulit bagi menduga ikan di perairan Melaka.

“Alhamdulillah tak sangka kira-kira jam 10.50 pagi, joran yang dilabuhkan dengan hanya berumpankan udang kopek menunduk disambar ikan pemangsa.

“Walaupun berdebar saya cuba untuk tenang melayan tarikan ikan itu dan selepas bertarung hampir lima minit, ikan mayong hampir 4kg berjaya didaratkan dengan bantuan rakan pemancing lain,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai peniaga bersyukur dengan kemenangan tersebut dan menganggapnya sebagai rezeki tahun baharu untuknya dan keluarga.

Sementara itu, tempat kedua menjadi milik Mohd Zamri Yahya, 45, dari Klang Selangor yang mendaratkan ikan pari seberat 2.535kg, manakala tempat ketiga pula dimenangi Hisyamudin Hassan, 47 dari Muar, Johor yNg menaikkan ikan belukang seberat 1.475kg.

Kedua-dua mereka masing-masing membawa pulang RM3,000 dan RM1,000.

Difahamkan, siri kedua Kembara Pancing Melaka bakal diadakan pada Jun depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2520
Kongsi :
Previous post ISU SALAH GUNA DANA: SPRM RAKAM KETERANGAN PEGAWAI KANAN ATM
Next post LEBIH 161,000 MULAKAN SESI PERSEKOLAHAN 2026 DI MELAKA