
118 SEKOLAH DI MELAKA DIIKTIRAF SEKOLAH INSPIRASI
PANTAI KUNDOR 12 Januari – Sektor pendidikan Melaka terus mencapai kegemilangan apabila sebanyak 118 daripada 319 buah sekolah diiktiraf sebagai Sekolah Inspirasi.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Sekolah Inspirasi merupakan pengiktirafan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kepada sekolah yang mempunyai kecemerlangan pencapaian akademik secara konsiten, selain punyai bidang kecemerlangan dan kempimpinan baik yang boleh dijadikan sekolah teladan.
Menurut beliau, peningkatan yang diterima itu cukup ketara, di mana, pada 2023 yang lalu, hanya sebuah sekolah sahaja di negeri ini diiktiraf sebagai Sekolah Inspirasi.
“Lebih hebat lagi, di Melaka, tidak ada satu sekolah pun dipilih sebagai sekolah fokus iaitu sekolah yang memerlukan banyak tumpuan, perhatian dan sokongan bagi meningkatkan prestasi pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Lawatan Rasmi Hari Pertama Sesi Persekolahan dan Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2026, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Gelam, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, SMK Kampung Gelam antara sekolah di Melaka yang menerima pengiktirafan Sekolah Inspirasi di atas pelbagai kejayaan dan kecemerlangan yang diraih.
Justeru, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka serta seluruh warga sekolah dari pentadbir, guru-guru, kakitangan sokongan sehinggalah kepada para pelajar atas pencapaian yang amat membanggakan ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


