
LESTARI BAHASA JAWA DALAM KALANGAN MURID SEKOLAH
AYER MOLEK 14 Januari – Usaha melestarikan Bahasa Jawa dalam kalangan generasi muda perlu diperkasakan, antaranya melalui kerjasama pihak sekolah bersama persatuan Jawa di peringkat komuniti.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, amat merisaukan apabila sebahagian besar generasi muda dalam komuniti Jawa di Kampung Paya Dalam kini tidak tahu untuk menuturkan bahasa ibunda mereka.
“Susulan itu saya mengesyorkan sekiranya bersesuaian diharap Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Dalam khususnya dapat bekerjasama dengan persatuan Jawa yang ada untuk mengadakan kelas Bahasa Jawa.
“Ini memandangkan di Kampung Paya Dalam 90 peratus penduduknya adalah masyarakat Jawa selain ramai pelajar pula tidak tahu untuk menuturkan Bahasa Jawa, jadi saya syorkan inisiatif ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni murid SK Paya Dalam pada hari pertama sesi persekolahan 2026, pada Isnin.
Menurutnya, langkah ini antara usaha yang dapat dilaksanakan dalam memperkenalkan dan mengekalkan penggunaan Bahasa Jawa sebagai warisan budaya.
“Supaya mereka ini generasi muda bukan sahaja tidak ketinggalan malah tidak kehilangan Bahasa Jawa, sekali gus dapat keunikan bahasa ini dapat dikongsi dengan orang ramai termasuk pelancong,” katanya.
Terdahulu, seramai 551 orang murid memulakan sesi persekolahan 2026 di SK Paya Dalam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


