
MAIM BIMBING AISYAH LEBIH MENGENALI ISLAM
DURIAN TUNGGAL 12 Januari – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memainkan peranan penting dalam membantu seorang mualaf, Aisyah Al-Diani, 37, mengenali Islam dengan lebih dekat.
Lebih mesra dipanggil Aisyah, dia yang berasal dari Kampung Bingkor Lama, Sabah, kini bekerja sebagai jururawat pergigian di sebuah klinik swasta di Melaka.
Berkongsi kisahnya, wanita itu berkata, kehadirannya ke Pusat Islam Melaka MAIM menjadi titik penting kepada perjalanan hidup yang penuh keinsafan.
Ketika itu, dia hadir tanpa sebarang rujukan dan dalam keadaan tidak pasti, namun layanan baik dan mesra warga MAIM yang membimbing dan memberi panduan berjaya meyakinannya untuk meneruskan hasrat memeluk Islam.
“Saya datang sendiri tanpa tahu prosedur, tetapi saya dibantu dan dirujuk dengan baik oleh kakitangan Pusat Islam membuatkan saya rasa diterima.
“Minat terhadap Islam sebenarnya telah bermula sejak di bangku sekolah rendah kerana saya tertarik melihat umat Islam menutup aurat serta mendengar alunan tilawah al-Quran, walaupun ketika itu tidak memahami maksud bacaan tersebut.
“Menginjak dewasa, minat itu berterusan sehingga alam pekerjaan apabila bekerja dalam perkhidmatan penjagaan pesakit di rumah (mobile nursing) dan sering berurusan dengan pesakit beragama Islam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Kongsi Aisyah, disiplin solat oleh pesakit beragama Islam, termasuk seorang warga emas yang dijaga di sekitar Bukit Katil, memberi kesan mendalam sehingga mengetuk pintu hatinya untuk mengenali Islam.
Aisyah akhirnya mengucap dua kalimah syahadah secara rasmi melalui Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) sebelum mengikuti kelas bimbingan dan pengajian di Balai Islam Melaka Kompleks Darul Huda dan sehingga kini masih belajar mengenali Islam.
Kini sebagai seorang mualaf, Aisyah berkata sokongan berterusan daripada MAIM, PERKIM serta komuniti Islam sekitar banyak membantunya menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.
Lebih istimewa lagi, kongsi ibu tunggal itu, anaknya Dryyanezs Deanneo Duan atau nama islamnya Deen Hakim Zayd Duan, 14, turut menunjukkan minat mendalami agama Islam.
“Sebelum saya betul-betul yakin terhadap agama Islam ini, saya dahulunya penganut agama kristian yang setia, ramai juga yang tidak menerima malahan ahli keluarga juga menasihati untuk kekal ke agama lama.
“Namun saya berpegang teguh pada pendirian dan lebih menguatkan saya untuk terus berada di landasan (agama Islam) ini apabila anak juga mahu belajar mengenai Islam.
“Islam mengajar kehidupan yang tersusun dan penuh ketenangan. Bantuan dan sokongan yang diterima membuatkan saya yakin dengan pilihan ini,”katanya.
Aisyah berharap kisahnya dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat bahawa hidayah hadir melalui keikhlasan, akhlak dan sokongan institusi Islam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


