
2,775 ORANG MELAKA TERPEDAYA JENAYAH SIBER TAHUN LALU
AYER KEROH 15 Januari – Jenayah siber di Melaka masih menunjukkan angka membimbangkan apabila seramai 2,775 mangsa telah direkodkan membabitkan kerugian RM80.658 juta sepanjang tahun lalu.
Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri memaklumkan, jumlah itu meningkat berbanding 2024 yang merekodkan sebanyak 1,945 kes dan nilai kerugian RM80.2 juta.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kempen ‘Taskforce’ Bagi Menangani Judi Dalam Talian, Internet Fraud Dan Jenayah Siber Negeri Melaka berkata, data tersebut diterima daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka.
Menurut beliau, daerah Melaka Tengah kekal mencatat bilangan mangsa tertinggi iaitu seramai 1,750 orang membabitkan nilai kerugian RM56.2 juta, diikuti Alor Gajah (649 mangsa, RM15.373 juta kerugian) dan Jasin dengan 376 mangsa dan RM9.084 juta nilai kerugian.
Jelas Mohd Noor Helmy, tipu pembelian online menjadi modus operandi tertinggi direkodkan tahun lalu iaitu sebanyak 566 kes, berbanding 366 pada 2024.
“Ia diikuti pinjaman tidak wujud dengan 381 kes (236 pada 2024); pelaburan tidak wujud 339 kes (338 pada 2024); tipu tawaran pekerjaan 318 kes (162 pada 2024); phone scam 288 (259 pada 2024); menyamar rakan pinjam wang 112 (77 pada 2024) dan 61 merupakan love scam/parcel scam (54 pada 2024).
“Daripada modus operandi tersebut, nilai kerugian tertinggi yang direkodkan adalah pelaburan tidak wujud iaitu sebanyak RM32.305 juta, diikuti phone scam dengan nilai RM15.195 juta; tipu tawaran pekerjaan RM4.597 juta dan tipu pembelian online dengan RM4.134 juta,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pekerja swasta menjadi mangsa tertinggi terbabit dengan jenayah siber pada 2025 iaitu membabitkan seramai 1,001 orang dan jumlah itu meningkat berbanding 724 pada tahun sebelumnya.
Selain itu, ujar beliau, seramai 245 penjawat awam seperti guru, petugas kesihatan dan tentera turut menjadi mangsa, diikuti 234 ahli perniagaan; 170 pelajar; 158 pesara; 150 bekerja sendiri dan 107 surirumah.
“Manakala lingkungan umur tertinggi menjadi mangsa adalah mereka yang berusia 17 hingga 41 tahun iaitu sebanyak 1,211 orang, diikuti 663 mangsa berusia 41 hingga 60 tahun dan 191 mangsa berusia 61 tahun ke atas,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


