
INOVASI PELAJAR UTEM CATAT KEJAYAAN DI NWPC 2026
DURIAN TUNGGAL 17 Januari – Bakat inovatif Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Low Qian Yu muncul juara ‘National Womenpreneur Pitching Competition 2026 (NWPC)’ menerusi projek inovatif ‘ODOR Absorbing Smart Insole’.
Tempat kedua dimenangi oleh Thrischta Sathiamoorty dari Universiti Multimedia melalui projek ‘Murder in Math Mansion’ manakala tempat ketiga menjadi milik Nur Hanissa Azhan Jafni Azhan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan projek ‘SIPHA Enterprise’.
Program ini dianjurkan oleh UTeM bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia (KPKM) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) sebagai platform memperkasakan keusahawanan wanita dalam kalangan mahasiswi.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, program ini selaras dengan tema ‘Driving Women Entrepreneurship’ yang mampu melahirkan graduan wanita bukan sahaja cemerlang akademik, malah berupaya menjadi pencipta peluang pekerjaan dan pemimpin perniagaan.
“Usaha memperkasa keusahawanan wanita perlu diteruskan secara bersepadu melalui kolaborasi strategik antara institusi pengajian tinggi, rakan industri, pihak kementerian serta agensi bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan yang mampan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif; Pengarah Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE) UTeM Dr. Johanna Abdullah Jaafar serta kenamaan lain.
Sementara itu, Naib Canselor UTeM Prof Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, NWPC memberi impak kepada sektor perniagaan negara khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta memberi pendedahan kepada mahasiswi mengenai ekosistem perniagaan sebenar.
“Menerusi program ini kita mencungkil bakat mahasiswi dalam membentangkan idea perniagaan berpotensi tinggi serta menggalakkan inovasi, daya saing dan kelestarian perniagaan,” katanya.
Dua hadiah saguhati dimenangi pelajar UTeM adalah Ainulsarah Anizar dengan projek ‘Campus Bus Tracker’ dan Nurin Batrisyia Solehan menerusi projek ‘WebKraft Studio’.
Para peserta dinilai oleh barisan juri profesional daripada kalangan akademia dan industri. Juara membawa pulang hadiah utama RM3,000, tempat kedua RM2,000, tempat ketiga RM1,000 serta dua hadiah saguhati RM500 setiap seorang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

