
MELAKA TINGKAT KUALITI BIDANG ASUHAN, PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK
BANDARAYA MELAKA 18 Januari – Melaka terus komited mengangkat profesionalisme bidang pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak sebagai antara ‘pelaburan’ besar kepada pembinaan modal insan negara.
Ia dizahirkan menerusi penganjuran Konvensyen Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Negeri Melaka 2026 yang diadakan di sebuah hotel, di sini, semalam.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, konvensyen berkenaan menjadi wadah penting dalam perkongsian ilmu, bertukar pandangan dan memperkukuh amalan terbaik dalam pengasuhan serta pendidikan awal kanak-kanak.
Jelas beliau, kualiti pendidikan awal kanak-kanak amat penting kerana ia bakal mewujudkan masa depan yang lebih sejahtera dan berdaya tahan.
“Oleh itu, marilah kita terus memperkukuh kerjasama antara pengusaha, pendidik, ibu bapa, komuniti dan pihak berkuasa agar ekosistem pendidikan awal kanak-kanak di negeri Melaka terus berkembang secara mampan dan berintegriti,” katanya ketika berucap merasmikan malam gala konvensyen berkenaan.
Menurut Kalsom, dalam dunia yang semakin mencabar, para pendidik perlu terus meningkatkan profesionalisme, selain menyesuaikan pendekatan dengan keperluan semasa.
Pada masa sama, ujar beliau, semua yang terlibat juga perlu sentiasa memastikan kesejahteraan dan keselamatan kanak-kanak menjadi keutamaan.
“Bidang pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak bukanlah satu bidang yang mudah. Ia menuntut kesabaran yang tinggi, keikhlasan hati serta tanggungjawab yang besar. Kita bukan sekadar menjaga kanak-kanak, tetapi kita sedang membentuk insan kecil yang kelak akan mencorakkan masa depan keluarga, masyarakat dan negara.
“Setiap senyuman kanak-kanak yang ceria, setiap perkembangan kecil yang mereka capai, dan setiap nilai murni yang tertanam dalam diri mereka, sebenarnya adalah hasil sentuhan tangan-tangan pendidik dan pengasuh yang berdedikasi,” tambah beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


