Sorting by

×

BATU SEREMBAN: CENDERAMATA YANG MERANGKAI CERITA BUDAYA

Masa Membaca:3 Minit, 18 Saat

BANDA HILIR 21 Januari – Lambakan permainan digital dan gajet moden yang menguasai kehidupan kanak-kanak hari ini, tidak menghakis semangat peniaga ini yang terus setia menjahit harapan pada cebisan kain batik, membentuknya menjadi batu seremban.

Di Bazar Kraftangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Dataran Pahlawan Megamall, masih terdapat peniaga yang bukan sekadar menjual barangan kraftangan, malah gigih meneruskan pembuatan permainan tradisional yang semakin dilupakan, khususnya batu seremban.

Batu Seremban merupakan sebuah permainan tradisional yang pernah mewarnai zaman kanak-kanak generasi terdahulu khususnya mereka yang lahir sebelum 1990-an.

Menurut peniaga, Nur Liyana Kamaruldzaman, 36, batu seremban bukan sekadar alat permainan, sebaliknya menjadi simbol usaha mempertahankan warisan dan budaya agar tidak luput ditelan arus kemodenan.

“Setiap batu seremban yang saya hasilkan dijahit rapi menggunakan kain batik, namun ia juga bergantung kepada permintaan pelanggan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Nur Liyana berkata, dia pernah menerima tempahan menggunakan kain perca bercorak kartun, khususnya bagi menarik minat kanak-kanak.

“Bagi saya, gunakan kain apa pun tidak mengapa, asalkan permainan tradisi ini terus dimainkan dan dikenali.

“Setiap batu seremban yang dijual di kedai ini bukan sekadar berfungsi sebagai alat permainan, sebaliknya membawa simbol dan nilai warisan budaya,” katanya.

6289416707038187039

NUR Liyana menjahit batu seremban. Foto Afiq Mustaffa

Mengulas lanjut, Nur Liyana berkata idea menghasilkan batu seremban daripada kain batik tercetus sebagai usaha memberi nafas baharu kepada permainan tradisional, selain menjadikannya lebih selamat dan menarik untuk dimainkan oleh kanak-kanak masa kini.

“Batu seremban ini dijahit sendiri, diisi dengan batu akuarium dan dibentuk kemas yang mana sebagai permainan, ia juga berfungsi sebagai cenderamata yang membawa cerita budaya,” katanya.

Berkongsi kisahnya, Nur Liyana memaklumkan berdasarkan kisah orang lama, permainan batu seremban terbahagi kepada dua jenis utama, iaitu batu seremban lima dan batu seremban tujuh.

Katanya, batu seremban lima merupakan antara permainan tradisional paling popular suatu ketika dahulu, khususnya dalam kalangan kanak-kanak perempuan.

Ujarnya, permainan itu memerlukan kemahiran koordinasi tangan, ketajaman fokus serta ketangkasan membaling dan menyambut batu secara berperingkat.

Tambahnya, pengenalan semula batu seremban tujuh bertujuan memperluaskan pengetahuan masyarakat terhadap variasi permainan tradisional yang hampir dilupakan.

“Batu seremban tujuh pula dianggap versi lebih mencabar dan jarang dimainkan pada masa kini.

“Dengan jumlah batu yang lebih banyak, permainan ini menuntut tahap kesabaran, kecekapan dan kawalan pergerakan yang lebih tinggi, sekali gus melambangkan kebijaksanaan serta ketahanan mental pemain.

“Kebanyakan permainan batu seremban tujuh ini dimainkan di negeri seperti Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak serta beberapa negeri lain dengan nama yang berbeza, manakala batu seremban lima pula lebih biasa dimainkan di negeri seperti Melaka, Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

6289416707038187053
PERMAINAN tradisional merupakan salah satu produk yang menjadi tumpuan pelanggan di gerai milik Nur Liyana. Foto Afiq Mustaffa

Menurutnya, proses menyiapkan satu set batu seremban tidak memerlukan masa yang lama, malah beliau mampu menghasilkan sehingga 15 set sehari, sama ada batu seremban lima atau tujuh.

Ujarnya, beliau tidak menggunakan ukuran tetap, sebaliknya bergantung kepada anggaran serta keperluan pelanggan.

“Saya pernah menerima tempahan sehingga 50 set dalam satu masa dan berjaya menyiapkannya lebih cepat. Bahagian yang agak mencabar adalah memotong kain mengikut saiz yang sesuai.

“Saya akan bertanya sama ada batu seremban itu untuk dewasa atau kanak-kanak, dan dari situ saya ubah saiz mengikut genggaman tangan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, dia bersama adiknya, Mohamad Daeng Faiz Kamaruldzaman, 32, meneruskan perniagaan kraftangan yang diwarisi secara turun-temurun lebih 20 tahun sejak zaman Allahyarham datuk dan nenek mereka.

“Di kedai ini, kami menjual pelbagai hasil kraftangan, sama ada barangan import atau buatan tangan tempatan, di Lot Kedai 46 dan 37 di bazar ini.

“Selain batu seremban, kami turut menjual permainan tradisional lain seperti chapteh, bola sepak takraw rotan, cheper dan pelbagai lagi,” katanya.

Jelasnya, usaha menghasilkan dan menjual batu seremban batik bukan sekadar untuk kelangsungan perniagaan, sebaliknya sebagai satu tanggungjawab budaya dalam memperkenalkan semula sukan tradisional kepada generasi muda serta pelancong yang ingin mengenali warisan tempatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

492
Kongsi :
Previous post MELAKA SEDIA PLATFORM BANTU IBU BAPA HADAPI CABARAN DUNIA SIBER
Next post KEMASUKAN AWAL KE TAHUN 1: PERKUKUH SISTEM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK