
MELAKA TERUS SUBURKAN BUDAYA CINTAI AL-QURAN
PENGKALAN BATU 22 Januari – Melaka terus menyuburkan budaya mencintai al-Quran menerusi penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Melaka Tahun 1447H/2026M.
Majlis itu membuka tirainya malam tadi, sehingga Sabtu ini, bertempat di Auditorium Masjid Al-Azim.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, pada tahun ini, seramai 46 peserta mengambil bahagian merangkumi 21 peserta dalam kategori tilawah al-Quran dan 25 peserta dalam kategori hafazan al-Quran.
“Ini merupakan majlis tahunan anjuran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang menjadi platform memperkukuh budaya mencintai dan menghayati Al-Quran dalam kalangan masyarakat.
“Majlis yang merupakan program rasmi Kerajaan Negeri ini turut menjadi kesinambungan kepada penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan antarabangsa.
“Objektif penganjuran majlis ini bagi menghidupkan budaya membaca Al-Quran di samping menzahirkan keindahan dan ketertiban bahasa kitab suci itu menerusi bacaan yang bertertib serta berlagu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pembukaan Perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Melaka Tahun 1447H/2026M di Auditorium Al-Azim, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad; Pengarah JAIM Datuk Md Azhan Samat serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, menerusi majlis itu penggunaan tajwid, suara, fasihah dan lagu betul saling berkait dan berhubung rapat bagi memastikan ayat yang dibacakan dihayati pendengar.
Tambahnya, bagi memastikan semua peserta bersedia menghadapi pertandingan peringkat negeri, Akademi Hamalatul Al-Quran (AHQAM) Negeri Melaka telah menganjurkan sebanyak empat siri latihan sebagai persediaan awal.
“Bagi persediaan ke peringkat kebangsaan, peserta akan menjalani kursus Tahsin Khas sebagai persiapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


