
MAHLIGAI BURUNG PAK AKOB
ASAHAN 24 Januari – Sejak tiga dekad lalu nama Zaharin Abu, 66, menjadi sebutan dalam kalangan peminat unggas kerana ketahanan, kekemasan, kehalusan dan keunikan rekaan sarang burung dihasilkan daripada rotan.
Malah ramai yang tidak berkira untuk mengeluarkan belanja besar bagi mendapatkan khidmat Zaharin atau lebih mesra dengan panggilan Pak Akob kerana menjadi idaman setiap pemilik unggas melihat burung kesayangan memiliki sarang atau ‘mahligai’ yang sedap mata memandang.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan melihat sarang tergantung di serambi rumah yang disiapkan mengikut rekaan citarasa sendiri adalah pelengkap kepada burung yang ‘bersiul’ merdu.
Pak Akob berkata, antara kelebihan sarang burung dihasilkan adalah teknik pembuatannya yang masih lagi mengekalkan keadah tradisional sama seperti yang dipelajari daripada arwah abangnya.
Berkongsi kisahnya, Pak Akob berkata, semuanya bermula akibat dia buntu berikutan tidak mempunyai pekerjaan selepas berhenti daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1993.
“Melihat saya tiada arah tuju ketika itu, abang mengajak saya membantunya membuat sarang burung di rumahnya di Felda Bukit Senggeh. Sepanjang tiga tahun setengah membantu abang tugas saya cuma memotong papan dan rotan sahaja, namun melihat kesungguhan yang saya tunjukkan baru dia turunkan ilmu bagaimana untuk menyiapkan sarang burung dari mula hingga selesai.
“Saya bermula daripada kosong, ketika itu memang susah mujur tidak cepat putus asa. Tetapi sekarang kalau sekadar rekaan biasa saya boleh siapkan 10 sarang burung sehari,” katanya ketika ditemui di bengkel miliknya di Kampung Selandar.
Bapa kepada enam anak ini berkata, dia amat mementingkan kualiti ketika menyiapkan tempahan, sekali gus memastikan pelanggan dari Perlis, Kedah, Johor dan Kelantan berpuas hati dengan hasil kerjanya.
“Syukur sepanjang 30 tahun belum ada yang mengadu mengenai sarang burung dibeli, alhamdulillah ramai berpuas hati bagi pelanggan sarang burung dibeli berkualiti, kemas dan tahan lama. Bila pelanggan gembira saya akan berpuas hati.
“Menariknya ada pemborong dari Kelantan memaklumkan sarang burung yang dibelinya ‘balik’ semula ke Melaka kerana pembelinya adalah orang dari negeri ini. Ramai yang fikir sarang burung ini dibuat oleh tukang di Kelantan atau Thailand,” katanya.
Dia yang juga Sidang Kampung Selandar berkata, harga sarang burung dijualnya adalah antara RM60 hingga RM450 dan ia bergantung kepada permintaan pelanggan.
“Saiz sangkar di sini sama, lainnya cuma ukiran kepala sangkar dan juga hiasan tapak sangkar, kedua-dua elemen ini akan tentukan kadar harga dan hanya selepas pelanggan setuju baru saya akan buatkan.
“Dengan bantuan seorang pekerja kini saya mampu jual kira-kira 100 biji sangkar dalam sebulan berbanding hanya 20 biji semasa awal-awal mengusahakan pembuatan ini.
“Jumlah tempahan sangkar akan meningkat apabila ada pertandingan burung yang dianjurkan,” katanya yang mendapat bekalan rotan dari Orang Asli Asahan.
Jelasnya, disebabkan ramai generasi muda pada masa ini tidak ramai yang mempunyai kemahiran untuk membuat sangkar dia bersedia untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka yang berminat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


