
MELAKA MAHU WUJUDKAN BANDAR LESTARI, MANFAAT TEKNOLOGI ‘LID’ KURANGKAN RISIKO BANJIR KILAT
AYER KEROH 24 Januari – Kerajaan Negeri memanfaatkan lawatan kerja teknikal ke Chongqing, Republik Rakyat China dengan mempelajari pendekatan inovatif bandar berkenaan yang telah membangunkan taman bandar berskala besar.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, lawatan itu membuka ruang pembelajaran berharga terhadap pendekatan Bandar Chongqing dalam pengurusan air bandar, mitigasi banjir serta pemuliharaan alam sekitar.
Menurut beliau, dalam lawatan delegasi Kumpulan Wang Amanah Sumbangan Saliran (KWASS) itu, delegasi Kerajaan Negeri telah diberikan taklimat terperinci berhubung konsep dan reka bentuk Chongqing Central Park menerusi pelaksanaan projek ‘Sponge City’.
“Chongqing Central Park telah mengaplikasikan elemen Low Impact Development (LID) bagi mengawal aliran air hujan, mengurangkan risiko banjir kilat serta meningkatkan kualiti persekitaran dan kesejahteraan bandar.
“Usaha yang dilaksanakan itu secara tidak langsung seiring prinsip pembangunan mampan yang ingin dipraktikkan di Melaka,” katanya yang mengetuai lawatan teknikal berkenaan dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Lawatan kerja teknikal itu turut disertai Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut menzahirkan harapan agar lawatan kerja teknikal itu membuahkan hasil yang signifikan, seterusnya dapat dimanfaatkan dan disesuaikan dengan keperluan tempatan demi memperkukuh perancangan serta pembangunan bandar mampan di Melaka.
“Inilah ikhtiar berterusan kita dalam memastikan Melaka terus maju, berdaya tahan dan lestari untuk generasi akan datang,” tambah beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


