Sorting by

×

GANJARAN UMRAH JADI MOTIVASI YANA BURU EMAS KEJOHANAN DUNIA

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

TELOK MAS 27 Januari – Ganjaran tajaan umrah bersama ibu bapa yang dijanjikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjadi pembakar semangat kepada pelajar bidang teknologi fesyen GIATMARA Simpang Ampat untuk terus berusaha membawa pulang pingat emas pada kejohanan Worldskills World 2025 di China, September depan.

Nadratulliyana Ab Malek, 22 yang dinobatkan Ikon Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Telok Mas berkata, tawaran ganjaran berkenaan memberi kekuatan dan dorongan tambahan untuk melakukan persiapan terbaik menjelang kejohanan peringkat dunia itu.

Anak bongsu daripada sembilan beradik yang mesra disapa Yana itu mahu membanggakan kedua ibu bapanya yang menjadi tulang belakang dalam usahanya mencapai kejayaan selain sanggup berkorban wang ringgit, tenaga dan masa untuknya.

“Saya sangat terharu dan tidak sangka akan menerima ganjaran sebegitu. Ia benar-benar memberi motivasi kepada saya untuk terus berusaha dan sasarkan pingat emas selain mahu menggembirakan kedua orang tua,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri bersama Warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, baru-baru ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri dalam ucapannya mengumumkan ganjaran hadiah tajaan umrah kepada Nadratulliyana bersama ibu dan bapanya sekiranya gadis itu berjaya meraih emas dalam kejohanan berkenaan.

Nadratulliyana sebelum ini mengharumkan nama negara dan Negeri Melaka apabila meraih pingat emas pada kejohanan Worldskills Asia Tenggara di Manila, Filipina sebelum mengulangi kejayaan sama di peringkat Asia ketika bertanding di Taipei, tahun lalu.

Menurut Yana, laluan ke pentas dunia bermula dengan penyertaan di peringkat kebangsaan pada 2023 dan 2024 sebelum dia dipilih mewakili negara ke kejohanan antarabangsa.

Katanya, pertandingan di peringkat antarabangsa menjadi tugas paling mencabar kerana tugasan hanya didedahkan pada hari pertandingan dan memerlukan kemahiran teknikal tahap tinggi seperti teknik jahitan ‘draping’ serta penghasilan rekaan fesyen secara tepat berdasarkan visual yang diberikan.

“Semua soalan adalah misteri dan memerlukan ketelitian serta ketahanan mental yang tinggi,” katanya.

Ketika ini, dia sedang menjalani latihan intensif sebagai persediaan terakhir bagi menghadapi kejohanan tersebut.

Dia turut merakamkan penghargaan kepada pihak GIATMARA dan keluarga yang sentiasa memberi sokongan serta menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan beliau dalam bidang kemahiran.

Sementara itu, ibu Nadratulliyana, Radiah Othman berkata dia terharu dan bangga dengan kejayaan dikecapi anak bongsunya.

“Sebenarnya perasaan bercampur, mula-mula sedih, lepas itu gembira bila anak berjaya. Sebelum ini, bila orang nampak anak masuk GIATMARA, orang tak pandang, kerana hanya belajar di GIATMARA tetapi sekarang terbukti anak saya boleh pergi jauh.

“Sebagai ibu, walaupun risau anak pergi luar negara seorang diri, saya hanya mampu berdoa kejayaan miliknya selain turut mendoakan keselamatan dirinya,” katanya

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

419
Kongsi :
Previous post PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN OKU, BUKTI KOMITMEN POLYCC
Next post PENGLIBATAN SEMUA KAUM TARIKAN FESTIVAL KUIH TRADISIONAL AIDILFITRI TAHUN KE-5