
KERETA LEMBU, WARISAN MELAKA YANG MASIH ‘BERNYAWA’
TELOK MAS 2 Februari – Bunyi derap setiap langkah kaki lembu yang gagah menarik pedati diumpamakan sebagai lambang kelangsungan pengangkutan tradisional itu yang masih ‘bernyawa’ meskipun kian dilupakan akibat peredaran zaman.
Ikon yang sinonim dengan negeri kelahiran Laksamana Hang Tuah ini mempunyai keunikan sejarah tersendiri, malah suatu ketika dahulu ia adalah nadi penangkutan utama di Melaka.
Jika berpeluang melancong ke Melaka dan teringin merasai pengalaman menaiki kereta lembu bolehlah singgah ke Kampung Tambak Bugis yang mana menjadi bumi warisan itu masih hidup dan bernafas.
Sebalik kelangsungan pengangkutan warisan itu adalah Samsudin Abdul, 50, iaitu pewaris generasi keenam mengusahakan bengkel tunggal yang menghasilkan kereta lembu di Melaka.

Meskipun pekerjaan dilakukan tidak gah, namun bagi Samsudin ia perlu diteruskan kerana dirinya bukan sahaja mempertahankan warisan, lebih utama kemahiran itu adalah sumber pendapatan utama datuk dan bapanya dalam membina keluarga mereka.
“Kereta lembu inilah yang membesarkan kami adik-beradik. Daripada hasil inilah ayah dan ibu membesarkan 10 orang anak, menyekolahkan kami dan memastikan kami semua menjadi orang.
“Pada hari ini kereta lembu tidak lagi digunakan dalam pengangkutan, sebaliknya lebih kepada aktiviti pelancongan. Pengunjung datang naik kereta lembu mengelilingi kampung, saya puas kerana dapat mengekalkan warisan dan memperkenalkan sejarah kepada generasi muda.
“Kalau sekarang, kereta lembu lebih kepada warisan. Kita bawa pelancong, kenakan bayaran sekadar menampung kos dan paling penting, memastikan kereta lembu ini tidak hilang ditelan zaman,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas mengenai kemahirannya membina kereta lembu, Samsudin berkata dia belajar secara tidak formal dengan memerhati dan membantu bapanya sejak remaja, sebelum akhirnya mampu membina sebuah kereta lembu lengkap ketika berusia sekitar belasan tahun.
“Saya belajar dengan melihat dan buat. Ayah tak banyak bercakap, dia tengok hasil kerja. Kalau salah, dia tegur. Daripada situ kita faham,” katanya yang mengakui minat terhadap kereta lembu datang secara beransur-ansur.
Samsudin berkata, pembuatan kereta lembu memerlukan ketelitian tinggi dan terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu kajang (bumbung), peti (badan) dan ganda (bahagian bawah termasuk roda) yang setiap satunya menggunakan bahan kayu berkualiti serta teknik tradisional.
“Setiap bahagian ada seni dan falsafahnya sendiri, mahu buat satu kereta lembu lengkap boleh ambil masa berbulan-bulan, bergantung kepada bahan dan cuaca,” katanya.
Walaupun permintaan daripada pelancong masih ada, Samsudin mengakui cabaran utama ialah kekangan kemampuan serta ketiadaan kesinambungan sokongan untuk memastikan warisan itu terus bertahan.
“Kita perlukan sokongan supaya usaha ini berterusan, kalau sekadar minat sekali-sekala, warisan ini sukar untuk kekal.
“Mempertahankan kereta lembu bukan sekadar soal rezeki, sebaliknya satu amanah untuk mengenang jasa orang tua dan sejarah keluarga yang jatuh bangun membesarkan anak-anak melalui hasil titik peluh sendiri.
“Dulu kita segan, orang ketawakan. Tapi hari ini saya bangga kerana ayah saya berjaya besarkan 10 orang anak dengan kereta lembu. Itu satu kejayaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


