
LEBIH 1,000 PILI BOMBA DI MELAKA ROSAK, VANDALISME ANTARA PUNCA
BUKIT KATIL 4 Februari – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka merekodkan sebanyak 1,122 unit pili bomba yang rosak akibat perbuatan vandalisme dan kerosakan fizikal.
Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Zaidi Ma’at berkata, negeri ini mempunyai lebih 18,000 pili bomba termasuk pili bomba awam berwarna merah dan swasta berwarna kuning.
“Pili bomba swasta terletak di premis-premis tertentu dan menjadi tanggungjawab pihak swasta, manakala pili bomba awam diselenggara oleh JBPM.
“Setakat ini, lebih 1,000 unit pili bomba dilaporkan rosak kerana pelbagai punca seperti dilanggar, diconteng, penutup hilang atau ‘chamber’ patah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2026 JBPM Melaka di Ibu Pejabat JBPM Melaka, di sini, semalam.
Jelasnya, untuk mengatasi masalah itu JBPM mengambil inisiatif membuat penutup ‘chamber’ sementara menggunakan batu dan simen bagi memastikan pili bomba boleh digunakan pada bila-bila masa.
“Tanpa pili bomba, operasi memadam kebakaran hanya bergantung pada ‘water tender’ yang boleh bertahan lima minit sahaja.
“Justeru, orang awam perlu menyedari kepentingan kemudahan ini demi keselamatan sendiri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


