
PERSEMBAHAN KUDA KEPANG ‘PUKAU’ PENGUNJUNG
SERKAM 7 Februari – Tarian kuda kepang dipersembahkan pada Karnival Warisan Adat Temenggong Dan Adat Perpatih Mengikut Tradisi Jawa, mencuri tumpuan pengunjung.y
Malah ramai yang terpengun menyaksikan keindahan gerak tari seni tradisional itu yang semakin jarang dipersembahkan.
Sepanjang kira-kira 10 minit persembahan berlangsung dengan diiringi alunan muzik tradisional, rata-rata pengunjung tidak berganjak melihat setiap gerak tari yang diatur dengan penuh bertenga.
Selain golongan ‘orang lama’ tarian tradisional yang dipersembahan oleh peserta Seni Reog Gemalasari itu turut menarik perhatian anak muda kelihatan amat teruja sehingga menunggu hingga tamat persembahan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, persembahan tarian kuda kepang adalah antara lebih 15 pengisian dan acara kebudayaan yang diadakan sempena penganjuran Karnival Warisan Adat Temenggong Dan Adat Perpatih Mengikut Tradisi Jawa.
Beliau berkata, difahamkan karnival selama dua hari yang bermula semalam (Jumaat) adalah julung kali diadakan di Melaka yang berperanan penting bukan sahaja sebagai medan pemerkasaan warisan budaya tetapi wadah menelusuri akar tamadun.
“Ia sekali gus membuka ruang kepada masyarakat untuk mempelajari, menghargai dan menyaksikan secara langsung Adat Perpatih, Adat Temenggong dan tradisi Jawa yang sekian lama menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Melaka.
“Dalam tempoh dua hari ini lebih 15 pengisian dan acara kebudayaan diadakan antaranya merangkumi seni silat, tarian barongan, kuda kepang, perarakan besar berinai serta upacara akad nikah.
“Selain itu juga pelbagai makanan tradisi masyarakat Jawa yang sukar ditemui turut dibawakan sepanjang berlangsungnya karnival dan ianya mendapat sambutan amat menggalakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke Karnival Warisan Adat Temenggong Dan Adat Perpatih Mengikut Tradisi Jawa, di Kampung Paya Tanjung, di sini, malam tadi.
Hadir sama Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan serta Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah.
Terdahulu, turut berlangsung pada karnival ini persandingan dua pasangan mempelai yang diraikan mengikut Adat Temenggong dan Adat Perpatih.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


