
KOMITMEN AB RAUF TERHADAP KEBAJIKAN RAKYAT TANJUNG BIDARA DIPUJI
TANJUNG BIDARA 7 Februari – Komitmen Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf dalam menjaga aspek kebajikan dan keperluan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara mendapat pujian daripada pelbagai pihak khususnya pemimpin setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Air Hitam Darat, Abdullah Mahat berkata, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Ab Rauf amat prihatin terhadap keperluan dan denyut nadi rakyat.
Abdullah berkata, Ab Rauf sentiasa mengutamakan rakyat yang dalam kesusahan khususnya mangsa bencana alam seperti ribut.
“Sebagai pemimpin setempat, sikap cakna Ketua Menteri secara tidak langsung membantu melancarkan lagi urusan saya, contoh agihan bantuan boleh dilakukan dalam kadar segera jadi mereka yang memerlukan tidak menunggu lama.
“Lebih menggembirakan kami apabila kali ini beliau turun padang untuk meninjau dan bersama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong yang dianjurkan,” katanya ketika ditemui pada Program Gotong-Royong Sekampung Anjuran JPKK Air Hitam Darat, hari ini.
Program itu turut disertai Ketua Menteri yang bersama-sama membantu mengecat pagar Masjid As-Salam Kampung Air Hitam Darat.
Sementara itu mengulas mengenai program dianjurkan, Abdullah berkata aktiviti gotong-royong adalah sebahagian daripada tradisi lama penduduk Kampung Air Hitam Darat yang masih lagi diamalkan.
“Lebih 150 penduduk hadir membantu, peserta dibahagikan mengikut lokasi untuk membersihkan tanah perkuburan dan kawasan semak.
“Selain itu kami juga mahu memastikan sekitar kampung ini sentiasa dalam keadaan kemas dan bersih agar sedap mata memandang. Seperti semua maklum Tanjung Bidara adalah antara lokasi tumpuan pelancong di Masjid Tanah jadi amat penting untuk menjaga aspek kebersihan ,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


