Sorting by

×

KADAR ZAKAT FITRAH MELAKA DITETAPKAN RM8, RM15 DAN RM22

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

BUKIT PALAH 12 Februari – Zakat fitrah bagi Negeri Melaka tahun ini ditetap pada tiga kadar iaitu RM8, RM15 dan RM22, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut Ketua Menteri berkata, penetapan tiga kadar zakat fitrah itu adalah berdasarkan kepada keputusan Majlis Fatwa Negeri Melaka Bilangan 05/2025.

Jelas beliau, seramai 1,047 amil telah dilantik bagi memudahkan pembayaran zakat fitrah di seluruh negeri.

“Selain itu, Zakat Melaka turut menyediakan pelbagai saluran pembayaran yang mudah dan mesra pengguna, antaranya bayaran dalam talian melalui laman web rasmi Zakat Melaka, www.izakat.com, Portal MelakaPay serta aplikasi mudah alih MelakaPay.

“Saya menyeru Zakat Melaka agar terus mempergiatkan hebahan mengenai kemudahan ini supaya tiada rakyat yang terlepas menunaikan zakat fitrah hanya kerana kekangan masa atau maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah Negeri Melaka 1447H/2026M di Auditorium Masjid Al-Azim, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Zohaime Muhamad Sori serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri menyasarkan kutipan zakat fitrah berjumlah RM6.9 juta tahun ini berbanding RM6.6 juta pada tahun sebelumnya.

“Sasaran itu realistik dan diyakini mampu dicapai dengan sokongan sistem digital yang semakin baik serta komitmen tinggi amil,” katanya.

Menurut beliau, pada tahun ini seramai 85 asnaf fakir dan 8,516 asnaf miskin menerima Bantuan Persediaan Ramadan dan Syawal 2026, manakala 2,300 orang asnaf mualaf akan disantuni melalui pengagihan khas di Kompleks Darul Huda MAIM.

“Ini adalah bukti Melaka Sayang Rakyat (MeSRA) melalui keprihatinan berterusan Kerajaan Negeri agar tiada golongan tercicir daripada perhatian khususnya ketika menyambut bulan mulia nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

325
Kongsi :
Previous post SISTEM MYASNAF JAMIN KETELUSAN BANTUAN MAKANAN BULANAN MAIM
Next post PERCUTIAN NOSTALGIA RUMAH KAMPUNG TENGAH BANDAR