Sorting by

×

RENTAK ‘SINGA’ MELAKA DALAM BINGKAI PERPADUAN

Masa Membaca:2 Minit, 47 Saat

BANDA HILIR 17 Februari – Tarian singa yang sinonim sebagai seni tradisi masyarakat Cina kini tampil dalam wajah baharu sebagai sukan moden yang inklusif, merentasi batas kaum dan jantina tanpa menghakis nilai budaya yang menjadi terasnya.

Di Melaka, perubahan itu bukan sekadar evolusi seni warisan, sebaliknya menjadi simbol bahawa perpaduan tidak terhasil melalui slogan, tetapi melalui keberanian generasi muda untuk mengenali, memahami dan bergerak bersama dalam satu irama.

Sempena Tahun Baharu Cina, Melaka Hari Ini berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana seni itu menyatukan anak muda berbilang bangsa di bawah Persatuan Tarian Singa dan Naga Sheng Wu Melaka.

TARIAN SINGA LAMBANG SATU KELUARGA

Pengasas Persatuan Tarian Singa dan Naga Sheng Wu Melaka, Gilbert Lim Sze Min berkata, tarian singa wajar dilihat sebagai sukan berpasukan yang menekankan stamina, kekuatan fizikal dan disiplin tinggi.

Menurut Gilbert, perubahan persepsi masyarakat terhadap tarian singa semakin ketara apabila aktiviti tersebut dibawa masuk ke sekolah dan dijadikan medium pembangunan sahsiah anak muda berbilang kaum di mana ia juga mula disertai kaum Melayu dan India.

“Tarian singa memerlukan kerjasama sepenuhnya sebagai satu kumpulan dan pasukan. Ia sama seperti kehidupan di Malaysia, kita tidak boleh bergerak sendiri. Kita bergerak sebagai satu keluarga.

6075891772262387011
PERSATUAN Tarian Singa dan Naga Sheng Wu Melaka ketika mengadakan persembahan di Banda Hilir. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

“Zaman sudah berubah. Tarian singa hari ini adalah sukan, seni dan pendidikan, namun saya tidak menolak kalau dahulu, mungkin ada kumpulan tarian singa yang berunsurkan ‘gangsterisme’.

“Di sini tiada unsur gangsterisme. Kami datang untuk berlatih, bersukan dan mengenali rakan daripada pelbagai kaum,” katanya.

PERPADUAN DI SEBALIK ‘TOPENG’ SINGA

Penyertaan pelajar Melayu, Clairrysssa Daria Auni Abdul Aziz, 15, membuktikan seni warisan itu telah berkembang sebagai alat perpaduan seiring perubahan zaman.

Berperanan sebagai pemain gendang yang mengawal rentak persembahan, anak muda itu berkata penglibatannya bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, malah membentuk disiplin, tanggungjawab dan adab dalam pergaulan.

“Kami bergerak sebagai satu keluarga. Dalam kumpulan ini tidak ada perbezaan agama atau bangsa, sebaliknya saling menjaga dan menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Bagi Nor Aizem Melejon, 18, yang hampir lima tahun terlibat sebagai ‘pemain ekor’, tarian singa mengajarnya tentang kepercayaan dan kerjasama.

“Apabila memakai kostum singa, saya perlu mengikut sepenuhnya pergerakan pemain di hadapan. Di situ kami belajar untuk percaya antara satu sama lain. Siapa pun dia, kaum atau agama apa bukan lagi persoalan,” katanya.

Kongsi Nor Aizem, sokongan keluarganya terhadap penglibatan tersebut membuktikan tarian singa kini diterima sebagai aktiviti sihat yang membawa nilai perpaduan.

6075891772262386978
SESI latihan tarian singa Persatuan Tarian Singa dan Naga Sheng Wu Melaka di Pulau Melaka. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

MEDIUM BINA JATI DIRI

Selain memupuk perpaduan, tarian singa turut menjadi ruang selamat untuk anak muda membina jati diri dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Levin Shamllan, 15, berkata penglibatannya sejak di sekolah rendah bukan sahaja membina keyakinan diri, malah membantu meningkatkan tahap kesihatan.

“Dahulu berat badan saya melebihi 110 kilogram, kini semakin berkurang. Walaupun saya bermain simbal, setiap latihan melibatkan senaman bersama. Di sini tiada unsur negatif, kami datang dengan tujuan yang sama,” katanya.

Gabungan anak muda berbilang bangsa dalam satu pasukan itu jelas membuktikan bahawa di bumi bersejarah Melaka, perpaduan bukan sekadar kata-kata, tetapi realiti yang hidup, bernafas dan bergerak di sebalik setiap langkah tarian singa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

491
Kongsi :
Previous post ‘SAYA IKHLAS DEMI PAYA RUMPUT’
Next post PERPADUAN KAUM TERUS MEKAR DI MELAKA