
MPHTJ SANTUNI, CERIAKAN AIDILFITRI GOLONGAN MEMERLUKAN
AYER KEROH 1 Mac – Inisiatif berkongsi rezeki dilaksanakan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sedikit sebanyak membantu menceriakan sambutan Syawal akan datang, khusus bagi mereka yang kurang berkemampuan.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, penerima bantuan dipilih dalam kalangan anak-anak yatim dan asnaf tinggal dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.
“Mengikut perancangan kami akan membawa 60 anak yatim untuk membeli baju dan kelengkapan raya di sebuah pasar raya pada 7 Mac ini. Kami mahu mereka merasai kemeriahan Syawal dan memilih sendiri persalinan mengikut citarasa masing-masing.
“Pada hari sama kami akan menyampaikan sumbangan kepada asnaf, mungkin usaha kecil yang digerakkan MPHTJ dapat membantu meringankan beban mereka dalam melakukan persediaan menyambut Syawal,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Menyantuni Peniaga Bazar Ramadan Masjid Al-Alami, MITC Ayer Keroh, pada Selasa.
Menurut Sapiah, pihaknya turut merangka beberapa lagi program sepanjang Ramadan termasuk penganjuran moreh dan sahur untuk menyantuni petugas barisan hadapan.
“Ramadan adalah bulan untuk berkongsi rezeki dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan justeru kami mahu semua lapisan masyarakat dapat merasai kegembiraan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


