
MARTABAK SINGAPURA PILIHAN PENGUNJUNG PASAR RAMADAN KAMPUNG TUN RAZAK
BUKIT KATIL 26 Februari – Hampir satu dekad Martabak Singapura Dak Yus kekal menjadi antara juadah pilihan pengunjung khususnya umat Islam yang singgah untuk mendapatkan juadah berbuka di Pasar Ramadan Kampung Tun Razak.
Pemilik Martabak Singapura Dak Yus, Mohd Yusri Mohd Yunos, 40, berkata dia meneruskan kesinambungan legasi perniagaan keluarga dan telah menjadi rutin menjalankan perniagaan menjual martabak tapak pasar Ramadan itu.
Menurutnya, keunikan tarikan martabak itu terletak pada resepi keluarga yang diwarisi turun-temurun selain penggunaan rempah diolah sendiri yang diimport dari Singapura.
“Selain penggunaan rempah rahsia kami juga masih mengekalkan cara penyediaannya agar rasa martabak yang siap dimasak tetap konsisten dan terus memikat selera pengguna seperti sejak 10 tahun lalu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata martabak yang dihasilkan bukan sahaja popular dalam kalangan umat Islam malah turut menambat selera pengguna berbangsa Cina dan India sekitar Bukit Katil.
“Sebenarnya boleh dikatakan pengunjung yang singgah ke gerai kami adalah pelanggan tetap. Sejak limat tahun lalu kami memperkenalkan martabak keju yang mana variasi ini mengikut citarasa semasa, namun martabak asal atau tradisional masih menjadi keutamaan,” katanya.
Kongsi Mohd Yusri lagi, setiap kali bulan puasa, dia yang menjalankan perniagaan bersama isteri, Siti Zarifahziana Abdul Rashid, 32, akan menyediakan antara 200 hingga 300 doh tepung martabak sehari.
“Selain martabak, pengunjung juga boleh menikmati roti bom dan pelbagai pilihan minuman air balang. Pada saya mengekalkan legasi keluarga bukan sahaja tentang perniagaan, tetapi juga memastikan warisan rasa martabak di Pasar Ramadan Kampung Tun Razak ini terus dinikmati masyarakat setempat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


