Sorting by

×

KEBERSIHAN PASAR RAMADAN MPHTJ PADA TAHAP BAIK, MEMUASKAN

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BUKIT KATIL 26 Februari- Tahap kebersihan pasar Ramadan dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang memasuki operasi minggu kedua Ramadan berada pada tahap yang baik dan memuaskan.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, pihaknya akan memastikan peniaga semua 11 pasar Ramadan dalam kawasan pentadbirannya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan khususnya membabitkan kebersihan.

Katanya, setakat ini kesemua penganjur dan peniaga pasar Ramadan patuh, menjaga kebersihan dan tiada sebarang kesalahan direkodkan.

“Memasuki minggu kedua Ramadan ini saya akan bergerak melawat setiap pasar Ramadan di bawah MPHTJ bagi memantau sendiri keadaan semasa.

“Selain, pemantauan pasar Ramadan ini juga kita gunakan peluang untuk menyantuni peniaga, serta mengagihkan apron, topi serta set penjagaan kuku kaki dan tangan kepada peniaga sebagai langkah meningkatkan tahap kebersihan dan penampilan ketika menjalankan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyantuni peniaga Pasar Ramadan Kampung Tun Razak, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata, pasar Ramadan Kampung Tun Razak itu merupakan pasar Ramadan kedua daripada 11 yang dikunjunginya bagi tujuan pemantauan berkala.

Tambahnya, beliau sering mengingatkan semua peniaga supaya sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan termasuk aspek kebersihan, keselamatan makanan dan susun atur gerai.

“Kita mahu pastikan tahap kebersihan di semua bazar Ramadan berada dalam keadaan baik dan terkawal bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini seperti keracunan makanan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

336
Kongsi :
Previous post MARTABAK SINGAPURA PILIHAN PENGUNJUNG PASAR RAMADAN KAMPUNG TUN RAZAK
Next post POLIS KENAL PASTI IDENTITI LIMA MANGSA KEBAKARAN DI RAUB