Sorting by

×

SCIENTEX BINA 3,700 RUMAH MAMPU MILIK DI PAYA RUMPUT

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

PAYA RUMPUT 1 Mac – Pembangunan projek perumahan berskala besar seluas 528 ekar (213.6 hektar) oleh Scientex Heights Sdn Bhd di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput bakal menjadi pemangkin kepada perkembangan industri serta pasaran hartanah di Melaka.

Pengarah Scientex Melaka, Datuk Alex Khaw Giet Thye berkata, projek itu merangkumi 7,400 unit pelbagai jenis kediaman merangkumi rumah teres dan dua tingkat ditawarkan pada harga antara RM288,000 hingga RM328,000 seunit.

Katanya, bagi menyokong hasrat Kerajaan Negeri membantu lebih ramai rakyat Melaka memiliki kediaman sendiri sebanyak 3,700 unit adalah Rumah Mampu Milik (RMM) rumah kos sederhana rendah dan rumah pangsa kos rendah ditawarkan pada harga antara RM70,000 hingga RM250,000 seunit.

“Pendekatan ini membuktikan sebagai antara pemaju hartanah terkemuka negara, kami melaksanakan pembangunan bukan sekadar berorientasikan keuntungan pasaran, sebaliknya turut sama cakna terhadap keperluan rakyat.

“Antara tumpuan kami adalah golongan muda pertama kali membeli rumah, keluarga berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Scientex Melaka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Mukim Paya Rumput Daerah Melaka Tengah, di sini, 14 Februari lalu.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin dan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM) Datuk TPr. Murad Husin.

Jelas beliau projek berkenaan terletak di kawasan strategik iaitu cuma lima kilometer (km) dari Bandar Melaka, 10km ke Ayer Keroh dan 15km ke Alor Gajah.

“Pada kelaziman fasa pertama akan siap sepenuhnya sekitar tempoh 18 bulan, dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri hartanah, Scientex yakin model rumah ini adalah yang paling ekonomik dan praktikal.

“Kami berpengalaman membangunkan rumah setingkat dan dua tingkat, dan model dua tingkat ini terbukti lebih efisien dari segi keluasan serta kos pembinaan,” jelasnya.

Kata beliau, selain projek baharu ini, Scientex turut mempunyai pembangunan besar di Jasin dengan baki tanah kira-kira 1,000 hektar untuk pembangunan jangka panjang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

476
Kongsi :
Previous post ALUNAN KALAM ILAHI ‘BERGEMA’ DI SUNGAI MELAKA
Next post ADUAN BERTAHUN SELESAI DI BAWAH ‘TOK RAIS’