Sorting by

×

PHAT-PHAT SI PEMALU YANG ‘SELEK’

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 28 Februari – Gelagat seekor orang utan jantan yang dikatakan ‘pemalu’ terutama apabila berhadapan dengan wanita menjadi antara tarikan unik di Zoo Melaka.

Penjaga orang utan, Muhammad Arif Muhammad Alan berkata, orang utan jantan dikenali sebagai Phat-Phat yang kini berusia 15 tahun mempunyai perangai yang sukar diduga kerana setiap individu yang menghampirinya menerima reaksi berbeza.

Menurutnya, haiwan itu dikatakan lebih cenderung dan selesa dengan pengunjung wanita, namun menunjukkan sifat malu apabila diperhatikan.

“Phat-Phat ini suka dengan wanita kerana penjaga asalnya dahulu adalah wanita. Tetapi dia agak pemalu, apabila nampak perempuan dia akan tundukkan pandangan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, di Zoo Melaka terdapat sepasang orang utan iaitu Phat-Phat dan pasangannya, Mardhiah yang dipelihara dalam persekitaran yang selesa serta dipantau rapi oleh pihak zoo.

Tambahnya, kedua-dua haiwan berkenaan diberikan makanan tiga kali sehari bagi memastikan tahap kesihatan dan keperluan nutrisi mereka sentiasa terjaga.

“Makanan mereka terdiri daripada pelbagai jenis buah-buahan seperti epal, pear, betik dan pisang selain sayur-sayuran,” katanya.

Menurut Muhammad Arif, penjagaan rapi termasuk pemantauan diet dan tingkah laku dilakukan secara berterusan bagi memastikan kesihatan haiwan berkenaan sentiasa terjaga.

Tambahnya lagi, orang utan juga diketengahkan sebagai antara haiwan pembelajaran kepada pengunjung untuk mengenali lebih dekat mengenai kehidupan spesies primat itu.

Kepada orang ramai yang ingin mengenali Phat-Phat dan Mardhiah secara lebih dekat, jom datang ke Zoo Melaka.

Sepanjang Ramadan ini, Zoo Melaka dibuka setiap hari iaitu bermula jam 10 pagi hingga 4 petang pada Isnin hingga Jumaat, manakala pada Sabtu dan Ahad, ia dibuka pada jam 9 pagi hingga 4 petang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

432
Kongsi :
Previous post KWSP UMUM DIVIDEN 6.15 PERATUS UNTUK SIMPANAN KONVENSIONAL DAN SHARIAH, JUMLAH PEMBAYARAN RM79.6 BILION
Next post KETUA MENTERI JEMPUT GENG ‘RIDER’, PENGGIAT GIG MOREH BERSAMA