
LEMBU BAWA REZEKI UNTUK ORANG KAMPUNG
PAYA RUMPUT 28 Februari – Penternakan lembu menjadi antara inisiatif dilakukan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Minyak dalam merancakkan aktiviti ekonomi komuniti di kawasan berkenaan.
Projek itu telah diusahakan sejak Julai 2024 yang lalu di tanah seluas setengah ekar di Lorong Masjid, Tanjung Minyak menerusi peruntukan geran Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Pengerusi JPKK Tanjung Minyak Kamal B. Bawker, 52, berkata, menerusi SejaTi MADANI kampung berkenaan menerima peruntukan RM100,000 di mana ia digunakan bagi membina kandang dan pagar, selain peralatan seperti ‘water jet’ dan mesin pengisar makanan.
Selain itu, ujarnya, sebahagian daripada peruntukan itu turut digunakan bagi membeli lembu dari Thailand, selain upah untuk pekerja.
“Menerusi projek ini, selain menjual lembu yang diternak, ia jua memberi nikmat rezeki kepada penduduk kampung yang memerlukan pekerjaan separuh masa dengan mengambil upah menjaga kandang dan memberi lembu makan.
“Pada masa sama, ia juga menjadi lubuk rezeki kepada penduduk yang mengusahakan rumput nappier yang menjadi makanan utama lembu, selain penduduk juga boleh membeli daging segar,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Kamal yang dilantik sebagai Pengerusi JPKK sejak lima tahun lalu berkata, penternakan lembu menjadi pilihan kampung berkenaan untuk diusahakan kerana melihat potensi bidang itu yang luas dan amat membantu dalam aspek keterjaminan makanan.
“Sekarang, kebanyakan lembu yang diternak sudah dijual dan kami berhasrat untuk menambah lagi bilangan lembu sekiranya mendapat lagi peruntukan atau modal pusingan daripada kerajaan.
“Pada masa sama, saya juga berhasrat untuk mencari lebih banyak peluang dalam membantu peniaga kecil di kawasan ini mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


