Sorting by

×

MELAKA SALUR RM400,000 UNTUK BANTUAN AIDILFITRI

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

PENGKALAN BATU 1 Mac – Sejumlah RM400,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri khusus untuk sumbangan bantuan perayaan Aidilfitri kepada 2,000 penerima.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, sumbangan tunai itu diberikan secara berperingkat ke enam kawasan Parlimen di Melaka.

Menurutnya, ia antara komitmen Kerajaan Negeri dalam aspek kebajikan terutamanya kepada golongan kurang bernasib baik dalam meringankan beban kewangan mereka menjelang Aidilfitri.

“Pemberian sumbangan ini diberikan secara berperingkat kepada penerima mengikut Parlimen berbanding pada 2024 ia disampaikan secara berpusat.

“Mereka yang menerima sumbangan ini terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan golongan berkeperluan yang layak,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu berkata demikian ketika ditemui selepas Mahabbah al-Quran Perdana Wanita Hang Tuah Jaya 2026 yang disempurnakan isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman, di Masjid Al-Azim, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Menurut Kalsom, Parlimen Masjid Tanah merekodkan penerima teramai dengan 359 orang diikuti Jasin, Alor Gajah dan Kota Melaka masing-masing dengan 355 penerima.

“Manakala bagi Parlimen Hang Tuah Jaya dan Tangga Batu pula merekodkan penerima seramai 288 orang.

“Kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian selain Kerajaan Negeri akan terus prihatin menyantuni rakyat yang memerlukan perhatian terutama dalam menyambut kedatangan Syawal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

490
Kongsi :
Previous post TIADA ADUAN HARGA ‘CEKIK DARAH’ DI BAZAR RAMADAN, AIDILFITRI MELAKA
Next post Q’ASEH RAMADAN: MTD PROPERTIES SINARI KEHIDUPAN KOMUNITI AYER KEROH