Sorting by

×

1,047 PESERTA IMARAH MAJLIS MAHABBAH RAMADAN HAWA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 1 Mac-Majlis Mahabbah Ramadan anjuran Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) 2026 menghimpunkan seramai 1,047 peserta bagi menjayakan program tadarus dan khatam al-Quran di Masjid Selat Melaka, di sini, hari ini.

Pengerusi HAWA Negeri Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, program anjuran bersama Kerajaan Negeri, HAWA Care dan Albayan Group itu melibatkan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat dari seluruh negeri ini.

Menurutnya, program yang memasuki tahun kelima penganjuran itu bertujuan mengimarahkan Ramadan dengan pengisian rohani di samping memperkukuh agenda kebajikan.

“Pada program ini juga kita menyampaikan sumbangan kepada 500 asnaf, fakir dan miskin di negeri ini sebagai usaha mendekati golongan memerlukan.

“Pada masa akan datang, HAWA Melaka akan merangka lebih banyak program kebajikan dan menggerakkannya ke kampung-kampung bagi mendekati golongan rentan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mahabbah Ramadan HAWA 2026 di Masjid Selat, di sini, hari ini.

Terdahulu, majlis berkenaan dirasmikan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Utama Hamidah Khamis.

Turut hadir, isteri Ketua Menteri merangkap Pengerusi Bistari Negeri, Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Abdul Aziz; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem serta kenamaan lain.

Hadir sama, Pengerusi HAWA Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi HAWA Care, Datuk Paduka Datuk Nor Hayati Onn.

Mengulas lanjut, Haryaty berkata HAWA Melaka akan terus memperkasa aktiviti kebajikan di peringkat akar umbi dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri serta NGO lain.

“Saya berharap kerjasama antara badan politik, NGO dan aktivis masyarakat dapat diteruskan sepanjang tahun dan tidak terhad pada bulan Ramadan sahaja demi memastikan agenda kebajikan terus diperkasakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

693
Kongsi :
Previous post KEGEMBIRAAN 84 ANAK YATIM, ASNAF WARNAI Q’ASEH RAMADAN