Sorting by

×

PANTAI HOSPITAL MELAKA BERWAJAH BAHARU, RUANG AWAM DAN AKSES PESAKIT DITAMBAH BAIK

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 3 Mac – Pantai Hospital Melaka kini berwajah baharu selepas kerja-kerja naik taraf ruang awamnya bagi menambah baik aliran pesakit serta melancarkan operasi harian hospital berkenaan selesai dilaksanakan.

Inisiatif itu dilakukan sejajar dengan peningkatan jumlah pesakit sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus mencerminkan kepercayaan berterusan rakyat dalam dan luar Melaka terhadap perkhidmatan kesihatan ditawarkan.

Dengan pertambahan kunjungan harian, hospital yang merupakan sebahagian daripada rangkaian penjagaan kesihatan multinasional IHH Healthcare itu mengambil langkah proaktif menambah baik susun atur ruang ketibaan dan aliran trafik bagi memastikan pengalaman lebih teratur, lancar dan selesa kepada pesakit serta keluarga.

Antara fasiliti dinaik taraf Pantai Hospital Melaka adalah kawasan Drop-Off yang kini direka semula dengan meningkatkan aksesibiliti serta mewujudkan suasana ketibaan lebih sistematik dan selamat.

Lobi Utama pula menampilkan susun atur baharu yang mengintegrasikan kaunter pendaftaran, kaunter maklumat dan ruang menunggu dalam persekitaran lebih terbuka serta tersusun, sekali gus memudahkan pergerakan pengunjung.

Whatsapp image 2026 03 02 at 12.54.20
LOBI Pantai Hospital Melaka yang kini berwajah baharu.

Selain itu, kapasiti parkir kenderaan turut dipertingkatkan dengan penambahan tempat letak kereta bertingkat, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 940 petak parkir telah disediakan.

Pada masa sama, ruang klinikal dan rawatan turut diperluaskan kira-kira 207,000 kaki persegi, termasuk pemodenan Dewan Bedah, penambahbaikan perkhidmatan Daycare serta penambahbaikan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ketika ini, Pantai Hospital Melaka mempunyai kapasiti berlesen sebanyak 241 katil dengan keupayaan ditingkatkan sehingga 276 katil mengikut keperluan.

Terrace Garden yang baharu diperkenalkan pula meliputi kawasan lebih 4,000 kaki persegi, menawarkan ruang terbuka dengan pencahayaan semula jadi serta pengudaraan baik dalam persekitaran hospital, sekali gus memberi peluang kepada pesakit dan keluarga berehat dalam suasana lebih tenang.

Pic 1 (1)
UPACARA memotong riben sebagai simbolik perasmian lobi utama, drop off dan Terrace Garden yang kini berwajah baharu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Selatan dan Timur Malaysia IHH Healthcare Tan Yew Aik berkata, pelaburan dalam infrastruktur perlu menyokong penyampaian penjagaan kesihatan secara praktikal dan berkesan.

“Usaha berterusan ini selaras dengan komitmen hospital dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kepada komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Yew Aik bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Melaka Dr. Kevin Khoo Teck Joon dan lain-lain kenamaan telah menyempurnakan upacara memotong riben sebagai simbolik perasmian lobi utama, drop off dan Terrace Garden yang siap dinaik taraf itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

455
Kongsi :
Previous post MPHTJ CADANG PERLUAS PROGRAM ‘FOOD RESCUE’
Next post MENARA KUBAH MASJID KETIGA TERTINGGI ADA DI KAMPUNG PAYA RUMPUT