
KES CURI KABEL DI MELAKA MENURUN
AYER KEROH 3 Mac – Kes kecurian kabel di Melaka mencatat penurunan lebih 36 peratus tahun lalu apabila hanya 67 kes direkodkan berbanding 106 pada 2024.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, sepanjang 2025, daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah mencatat bilangan kes tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 29 kes, manakala Jasin hanya merekodkan sembilan kes sahaja.
“Sepanjang tahun lalu, seramai 55 individu dipercayai terbabit dengan kes curi kabel telah ditahan, di mana tangkapan tertinggi adalah di daerah Alor Gajah iaitu sebanyak 31 tangkapan, Melaka Tengah (15) dan sembilan di Jasin.
“Daripada jumlah itu juga, sebanyak 45 kes kecurian kabel di seluruh Melaka telah berjaya diselesaikan tahun lalu.
“Manakala secara keseluruhan pada 2024 sebanyak 157 tangkapan telah dilakukan dan sebanyak 80 kes telah selesai,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut beliau, antara penyumbang utama kepada penurunan kes tersebut adalah tindakan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan yang dilakukan Polis Melaka dengan kerjasama pelbagai pihak, selain turut dibantu penglibatan masyarakat.
Malah ujar beliau, usaha berterusan akan terus dilakukan bagi mengekang jenayah curi kabel yang bukan sahaja menyebabkan kerosakan infrastruktur dan jumlah kerugian yang tinggi bahkan turut membawa risiko keselamatan kepada orang ramai.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


