
RAMADAN TIDAK HALANG KHIDMAT: KETUA MENTERI ATUR STRATEGI PENYURAIAN TRAFIK PERSIMPANGAN SOLOK DUKU
TANJUNG BIDARA 2 Mac – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mahu, masalah kesesakan di persimpangan lampu isyarat Solok Duku yang dianggap kritikal ditangani segera.
Perkara itu disuarakan Ketua Menteri selepas turun padang meninjau sendiri keadaan trafik berkenaan susulan aduan yang diterima daripada orang ramai.
Ab Rauf berkata, persimpangan itu menghubungkan laluan Tanjung Bidara, Sungai Udang dan Masjid Tanah menampung jumlah kenderaan yang tinggi terutama pada waktu puncak.
Katanya, susulan itu semua pihak berkenaan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka diarahkan supaya merangka strategik berkesan bagi membantu proses penyuraian trafik.
“Berapa cadangan sudah diberikan pihak berkenaan bagi membantu proses penyuraian trafik di persimpangan ini, sekali gus memberikan keselesaan kepada pengguna dalam usaha memperkemaskan sistem sistem lalu lintas disepanjang persimpangan ini.
“Strategik penyuraian trafik ini perlu dilaksanakan sementara menunggu pelaksanaan laluan baharu menghubungkan Sungai Udang dan Masjid Tanah yang sudah diluluskan,” kata Ketua Menteri.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian ketika ditemui selepas turun padang meninjau keadaan trafik di persimpangan berkenaan, petang tadi.
Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah TPr. Datuk Saifuddin Abdul Karim dan Pengarah JKR Negeri Ir. Mohamad Salzeli Mokhtar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


