Sorting by

×

MELAKA GEMPUR ‘MAT REMPIT RAMADAN’

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER LIMAU 3 Mac – Kerajaan Negeri memandang serius kegiatan lumba haram dan aksi merempit yang semakin mencetuskan kebimbangan di negeri ini, khususnya sepanjang bulan Ramadan.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, ia memandangkan masalah itu dilihat semakin serius di beberapa kawasan dalam negeri ini.

Berikutan itu, beliau memaklumkan, operasi khas bersepadu akan dilaksanakan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan, di mana ia akan dilakukan secara berkala di beberapa lokasi panas yang telah dikenal pasti.

“Kita lihat trend peningkatan aktiviti merempit dan melakukan aski-aksi berbahaya semakin meningkat dalam kalangan pelajar sekolah sehingga ada yang maut.

“Penguatkuasaan kali ini lebih tegas, tanpa kompromi, jika kita dapati mereka yang menunggang dengan bahaya, saman dan sitaan serta-merta akan terus dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Masjid Al-Muhtadi Ramuan China Besar, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Hameed turut menyeru golongan muda agar tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba kerana ia membahayakan diri dan pengguna lain.

“Saya harap ibu bapa dan semua pihak memainkan peranan dan memastikan anak-anak di bawah umur berada di bawah pengawasan dan pemerhatian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

502
Kongsi :
Previous post TYT BERBUKA PUASA BERSAMA WARGA AYER LIMAU, IMARAH 2 MASJID
Next post MPHTJ CADANG PERLUAS PROGRAM ‘FOOD RESCUE’