Sorting by

×

MELAKA JAMIN BEKALAN AIR CUKUP, PARAS 3 EMPANGAN UTAMA MENINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER LIMAU 3 Mac – Paras air di tiga empangan utama Melaka kini di paras stabil, sekali gus menjamin bekalan air mencukupi dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Justeru, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, orang ramai diminta tidak gusar mengenai bekalan air, terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Menurut beliau, peningkatan paras air di empangan utama itu adalah berikutan hujan yang turun sejak kebelakangan ini.

Jelasnya, setakat ini, bacaan paras air di Empangan Durian Tunggal berada pada tahap 81 peratus; Empangan Jus merekodkan paras 67 peratus dan Empangan Asahan berada pada paras 98 peratus.

“Peningkatan paras air di tiga empangan utama ini sekali gus memberi jaminan bahawa bekalan air mencukupi bagi menghadapi Ramadan dan sambutan Aidilfitri nanti.

“Paras air sungai juga menunjukkan peningkatan susulan hujan baru-baru ini, jadi rakyat tidak perlu bimbang mengenai isu bekalan air tidak mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Masjid Al-Muhtadi Ramuan China Besar di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, meskipun Kerajaan Negeri memberi jaminan tiada isu bekalan air, namun orang ramai masih disarankan untuk tidak membazir penggunaan air.

“Walaupun empangan berfungsi sebagai sokongan, loji rawatan air kita bergantung kepada tiga sungai utama iaitu Sungai Melaka, Sungai Batang Melaka dan Sungai Kesang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

380
Kongsi :
Previous post MELAKA BAKAL MILIKI PAM BERGERAK TANGANI BANJIR TERMENUNG
Next post ‘PAY NOW CRUISE LATER’ TAWAR PENJIMATAN SEHINGGA 30 PERATUS