
BAZAR DI MELAKA TIDAK HAMBAR
PAYA RUMPUT 3 Mac – Dakwaan mengaitkan jualan peniaga Bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri ini terjejas susulan sambutan hambar penganjung dinafikan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Sebaliknya, beliau berkata, dalam lawatan dan tinjauan yang dilakukan di beberapa bazar utama, rata-rata peniaga memberikan reaksi positif sejak pembukaan, malah ada yang berjaya mencatat hasil jualan luar biasa.
Justeru, katanya, tidak timbul sebarang isu atau masalah seperti yang didakwa, selain kebiasaannya pengunjung lebih gemar berbelanja di saat-saat akhir bagi menghangatkan lagi suasana menjelang hari raya.
“Sejujurnya, saya tidak mendengar lagi sebarang keluhan daripada peniaga, tapi sekiranya ada, kita di peringkat Kerajaan Negeri akan turun membantu peniaga itu dengan mempromosikan jualan mereka di pelbagai platform media sosial.
“Tetapi saya percaya, sekarang ini masih lagi di fasa awal dan insya-Allah sebaik memasuki pertengahan hingga penghujung berpuasa, suasana itu lebih berbeza dan sambutan dijangka lebih meriah lagi,” katanya kepada pemberita selepas Upacara Menaikkan Kubah Menara Kompleks As Solihin, Kampung Paya Rumput, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan; Pengerusi Masjid As Solihin Datuk Wira Yasin Sarif serta lain-lain kenamaan.
Menurut Rais, ketika mengadakan kunjungan ke Bazar Klebang yang merupakan bazar Aidilfitri terbesar di Melaka, baru-baru ini, rata-rata peniaga cukup gembira dan teruja dengan sambutan pengunjung, lebih-lebih lagi apabila diberi peluang beroperasi seminggu lebih awal sempena cuti sekolah.
Malah, katanya, dalam lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke Bazar Ikonik Banda Hilir juga, kebanyakan peniaga cukup gembira dengan sambutan yang diterima.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

