
MAIM SALUR RM450,000 BANTU USAHAWAN ASNAF BERSINAR
SERKAM 3 Mac – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus komited dalam membantu usahawan asnaf menerusi Dana Bantuan Perniagaan berjumlah RM450,000 pada tahun ini.
Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan amat ketara berbanding tahun lalu dengan peruntukan berjumlah RM192,120.
“Sepanjang 2026 MAIM memperuntukkan Bantuan Perniagaan sebanyak RM450,000 yang meliputi pembelian peralatan, deposit sewa rumah kedai, pensijilan halal dan sebagainya.
“Sepanjang tahun lalu seramai 63 orang penerima terpilih dan menerima bantuan justeru itu diharap tahun ini ia akan memberi manfaat kepada lebih ramai penerima.
“Hasrat utama kami menerusi bantuan ini adalah untuk memperkasa asnaf supaya berdikari, mengurangkan kebergantungan kepada bantuan serta menjana impak ekonomi yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan ke premis penerima bantuan perniagaan di Melaka Halal Hub Serkam, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis.
Menurut Shaifulfazlee, lawatan ke premis penerima bantuan amat penting bagi memastikan kawalan dan tadbir urus bantuan berada pada tahap optimum.
“Menerusi lawatan ini pihak kami dapat pastikan bantuan yang diluluskan benar-benar memberi pulangan serta dimanfaatkan.
“Malah pemantauan berkala juga akan dijalankan bagi memastikan objektif bantuan terus dicapai selain pengurusan dana zakat kekal berintegriti serta berkesan,” katanya.
Terdahulu, Syarikat Al-Taj Food Marketing & Service Sdn Bhd menerima bantuan berjumlah RM30,420 menggunakan peruntukan MAIM di bawah kategori al-gharimin.
Ia bertujuan bagi pembelian peralatan sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkasa asnaf produktif.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

