Sorting by

×

MPAG KONGSI REZEKI RAMADAN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

REMBIA 4 Mac – Keprihatinan terhadap masyarakat setempat terus dizahirkan apabila sebanyak 1,200 bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai di Dataran Keris, Alor Gajah, di sini.

Inisiatif itu dilaksanakan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) sempena Program Imarah Ramadan MPAG Tahun 2026 ‘Masak dan Mengedar Bubur Lambuk’.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, ia sebagai usaha menyemarakkan bulan Ramadan dengan berkongsi rezeki selain mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti setempat.

“Bubur lambuk merupakan antara juadah tradisi yang sinonim setiap kali Ramadan dan sentiasa dinanti-nantikan masyarakat untuk berbuka puasa.

“Alhamdulillah kita bersama MPAG, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah berjaya mengedarkan bubur lambuk yang menjadi menu wajib umat Islam untuk berbuka puasa.

“Tahniah kepada MPAG melaksanakan program seperti ini yang bukan sahaja mengeratkan hubungan antara jabatan dan masyarakat, malah menyemai semangat kebersamaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program tersebut.

Hadir sama Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim.

Img 20260304 014922 545
YANG Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim turut mengedar bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di Dataran Keris, Alor Gajah. Foto Afiq Mustaffa

Menurutnya, MPAG turut merangka beberapa lagi program kebajikan sepanjang Ramadan termasuk penyampaian kit makanan serta bantuan wang tunai kepada golongan asnaf yang layak dan memerlukan di sekitar kawasan Alor Gajah.

“Inisiatif begini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha memperkukuh hubungan silaturahim antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti selain menyemarakkan lagi penghayatan Ramadan di daerah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

481
Kongsi :
Previous post MELAKA PERUNTUK RM78.67 JUTA UNTUK KEBAJIKAN RAKYAT
Next post BANJIR: MELAKA MOHON RTB AYER SALAK