
BANJIR: MELAKA MOHON RTB AYER SALAK
PAYA RUMPUT 4 Mac – Melaka memohon satu lagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Ayer Salak dalam usaha menangani masalah banjir membabitkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka Tengah.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, projek itu dianggarkan menelan kos hampir RM130 juta, di mana ia diyakini dapat mengatasi masalah banjir yang berlaku di DUN Paya Rumput, Pantai Kundor dan Klebang.
Jelas beliau, permohonan itu sudah diangkat kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan diharap ia akan diluluskan demi membantu rakyat yang sering dibelenggu masalah banjir.
“Jika tahun lalu kita telah menerima peruntukan bagi RTB Sungai Baru di Masjid Tanah dengan nilai lebih RM400 juta, jadi untuk tahun ini saya memberi tumpuan agar Sungai Ayer Salak ini dapat menjadi keutamaan.
“Sekiranya RTB ini direalisasikan, ia dapat mengatasi masalah banjir di sekitar Bukit Rambai yang berada di bawah DUN Paya Rumput dan Klebang, selain ia juga boleh memberi impak sehingga ke kawasan DUN Pantai Kundor,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata demikian kepada pemberita selepas Upacara Menaikkan Kubah Menara Kompleks As Solihin, Kampung Paya Rumput, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan; Pengerusi Masjid As Solihin Datuk Wira Yasin Sarif serta lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Rais memaklumkan satu khabar gembira akan diterima DUN Sungai Rambai membabitkan kelulusan projek mengatasi masalah banjir.
Bagaimanapun katanya, perkara itu dijangka akan diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh tidak lama lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


