Sorting by

×

KONVOI RAMADAN MPHTJ SANTUNI PETUGAS BARISAN HADAPAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 5 Mac – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan menganjurkan program konvoi bermotosikal bagi menyampaikan sumbangan makanan dan menyantuni petugas barisan hadapan dalam kawasan pentadbirannya pada 13 Mac ini.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata, program berkonsepkan singgah sahur itu dijadualkan bermula seawal jam 10 malam dan dijangka tamat pada 1 pagi.

“Mengikut perancangan kita akan menyantuni anggota agensi atau jabatan yang bertugas 24 jam khususnya pada waktu malam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Kita mengiktiraf peranan besar yang dimainkan pegawai dan anggota berkenaan, mereka adalah wira yang tidak didendang sanggup berkorban demi menjamin keselamatan serta kesejahteran orang awam.

“Selain warga kerja MPHTJ program turut disertai komuniti motosikal, kita akan berkonvoi ke lokasi sudah ditetapkan bagi menyantuni petugas berkenaan,” katanya ketika ditermui selepas Majlis Ramadan Berkat MPHTJ yang diadakan di hadapan Melaka Mall, di sini, pada Selasa.

Majlis turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Melaka Datuk Adi Supian Shafie; Pengarah Eksekutif Mamee Double Decker Group Datuk Gary Choo Kok Sen serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata program tersebut bukan sahaja bertujuan menyampaikan sumbangan makanan, malah mengeratkan hubungan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan agensi-agensi keselamatan serta komuniti setempat.

Katanya, inisiatif itu juga selaras dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai kebersamaan, keprihatinan dan penghargaan terhadap pengorbanan pihak lain.

“Walaupun sumbangan yang diberikan mungkin tidak seberapa, namun kita berharap ia dapat menceriakan dan memberi suntikan semangat kepada mereka yang bertugas pada waktu malam dan awal pagi. Kita mahu mereka tahu bahawa pengorbanan dan jasa mereka sentiasa dihargai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

543
Kongsi :
Previous post TOK RAOP SANTUNI PENGUNJUNG, PENIAGA PASAR RAMADAN PENGKALAN BALAK
Next post TERUSKAN TRADISI PASANG LAGU RAYA, PERZIM SUNTIK ‘MOOD’ AIDILFITRI