
TERUSKAN TRADISI PASANG LAGU RAYA, PERZIM SUNTIK ‘MOOD’ AIDILFITRI
AYER KEROH 5 Mac – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) meneruskan tradisi memasang lagu raya di semua muzium seliaannya bermula 15 Ramadan bertujuan memeriahkan suasana dan menyuntik ‘mood’ Aidilfitri dalam kalangan pengunjung.
Pengurus Besar PERZIM Erne Hamsah berkata, inisiatif itu juga dianggap amat sesuai kerana muzium tertentu sekitar Banda Hilir menjadi lokasi pilihan sesi fotorafi bagi jabatan atau agensi kerajaan sempena Aidilfitri.
Jelasnya antara lokasi pilihan berkenaan adalah di Muzium Istana Kesultanan Melaka, Muzium Hang Tuah dan Galeri Demang Abdul Ghani kerana bukan sahaja kaya dengan nilai sejarah malah menawarkan latar seni bina menarik untuk fotografi.
“Secara tidak langsung menaikkan lagi mood raya dan mencetuskan perasaan ceria sepanjang sesi fotografi kerana bagi umat Islam sudah pasti kepenatan kerana sedang menjalani ibadah puasa.
“Inisiatif ini juga memberikan pengalaman berbeza selain menjadikan PERZIM lebih dekat dengan pengunjung serta peminat sejarah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Erne, PERZIM turut menganjurkan Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri setiap tahun bagi meraikan rakan-rakan strategik daripada pelbagai agensi serta pelawat tempatan dan antarabangsa.
“Rumah terbuka ini memberi peluang kepada pelawat, khususnya warga asing, untuk melihat dan merasai sendiri tradisi sambutan hari raya di Melaka.
“Kita juga menyediakan sudut ‘photobooth’ bertemakan Aidilfitri untuk pengunjung merakam kenangan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


