Sorting by

×

RAMADAN KAREEM ‘FREE MARKET’ TAWAR BAJU RAYA PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TELOK MAS 4 Mac – Projek Ramadan Kareem ‘Free Market’ membuka peluang buat golongan memerlukan bergaya dengan baju raya baharu percuma pada sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, program dianjurkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan kerjasama Japerun bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang berkenaan sebagai lokasi pengumpulan pakaian, beg tangan serta kasut terpakai.

“Proses mengumpul barangan berkenaan dilaksanakan sejak 12 Februari lalu dan alhamdulillah sambutan dalam kalangan mereka yang datang untuk menyumbang adalah amat positif. Begitu juga di DUN Asahan, ramai yang datang hantar baju sudah tidak lagi digunakan, syabas kepada orang Asahan atas sikap cakna dan semangat mahu membantu menceriakan golongan kurang berkemampuan.

“Semua barangan dikumpul ini akan diagihkan kepada orang ramai menerusi program khas yang dijadualkan berlangsung sehari sebelum Aidilfitri. Kita anjurkan secara besar-besaran, semua dijemput hadir untuk dapatkan pakaian yang sesuai dengan minat masing-masing,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Lisbon Hotel dan Melaka Hari Ini Sdn Bhd Bersama Rumah Anak-Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al Haj (RAYSAS) di The Lisbon Hotel Melaka, Perkampungan Portugis, semalam.

Katanya, pakaian dikumpul akan diasingkan mengikut jenis dan diperiksa bagi mengenal pasti sebarang kerosakan, sekali gus memastikan hanya yang elok serta berkualiti sahaja diagihkan kepada orang ramai.

“Pakaian sudah tidak lagi dipakai ini lebih elok jika kita sedekahkan kepada yang memerlukan berbanding disimpan begitu sahaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

472
Kongsi :
Previous post MELAKA KEKAL TEGUH HASIL PERPADUAN, TOLERANSI SEMUA KAUM
Next post BUFET MAKAN MALAM RAMADAN: EKSKLUSIF DAN UNIK ‘CITARASA TUAH’ DI THE LISBON MELAKA