
MELAKA KEKAL TEGUH HASIL PERPADUAN, TOLERANSI SEMUA KAUM
MELAKA KEKAL TEGUH HASIL PERPADUAN, TOLERANSI SEMUA KAUM
KLEBANG 4 Mac – Semangat muhibah dan sifat toleransi diamalkan membantu keharmonian antara kaum kekal subur di Melaka hingga diiktiraf sebagai antara tiga negeri yang mencatat tahap perpaduan tertinggi di Malaysia berdasarkan dapatan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025.
Presiden Persatuan Persaudaraan Kesenian dan Kebudayaan Peranakan Melaka (SEDARA) Baba Cedric Tan berkata, wajah keluarga besar Melaka diwarnai oleh seni, budaya dan adat masyarakat Melayu, Cina, India, Baba Nyonya serta Chetti hidup dalam suasana saling memahami.

“Teras masyarakat majmuk adalah saling hormat-menghormati dan bertolak ansur dalam pelbagai aspek termasuk adat serta budaya. Malah keharmonian atau susuai juga disebut keserasian antara kaum di Melaka dapat dilihat pada penganjuran majlis seperti ini yang mana semua orang datang berkumpul untuk bersama-sama meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.
“Jadi Melaka sebagai sebuah keluarga besar dilaungkan Ketua Menteri bukan retorik tetapi perkara yang nyata dan diterjemahkan pada penganjuran majlis ini, apabila semua pihak bersatu kita menjadi kuat meskipun berbeza keturunan atau latar belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Negeri Melaka diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Klebang, di sini, semalam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong serta lain-lain kenamaan.

Sementara itu bagi Hairul Asraf Abu Hussain, 43, keharmonian dan perpaduan masyarakat di negeri ini dapat dilihat apabila komuniti pelbagai latar belakang agama dan bangsa duduk bersama-sama meraikan sesuatu perayaan.
“Seperti sambutan rumah terbuka ini meskipun berlangsung pada bulan Ramadan ia tidak menghalang orang Islam untuk hadir meraikan, sekali gus memeriahkan majlis. Apa yang dikatakan keluarga besar ini sebenarnya apabila masyarakat sentiasa bersama dalam apa jua keadaan tanpa mengira latar belakang agama dan budaya,” katanya.
Menurutnya, dibawah kepimpinan Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh juga pelbagai program dianjurkan bagi menyemarakkan lagi nilai kebersamaan serta mengekalkan keunikan masyarakat majmuk di negeri ini.
“Ini yang menjadikan Melaka istimewa meskipun rakyatnya sentiasa meraikan perbezaan namun perpaduan kaum dan sikap toleransi tidak diketepikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


