
PINTU MASUK ALOR GAJAH ‘BERCAHAYA’ SAMBUT KEPULANGAN ANAK PERANTAU
ALOR GAJAH 5 Mac – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) menghias sembilan lokasi utama termasuk pintu masuk ke daerah ini bagi menyambut kepulangan anak perantau sempena Hari Raya Aidilfitri.
Yang Dipertua MPAG Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, antara kawasan terlibat ialah Bandar Alor Gajah, pekan Masjid Tanah, Pulau Sebang, Kuala Sungai Baru dan Durian Tunggal.
Menurutnya, kerja-kerja pemasangan hiasan dilakukan mengikut tema perayaan semasa dan kini pihaknya memberi fokus kepada persiapan Aidilfitri selepas selesai dekorasi sempena Tahun Baharu Cina sebelum ini.
“Kita akan mula memasang lampu berwarna-warni minggu ini termasuk hiasan berbentuk ketupat serta elemen tradisional lain di kawasan tumpuan orang ramai.
“Hiasan ini sebagai tanda mengalu-alukan kepulangan anak-anak perantau ke kampung halaman agar mereka dapat merasai kemeriahan Aidilfitri sebaik sahaja memasuki daerah Alor Gajah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Imarah Ramadan MPAG Tahun 2026 ‘Masak dan Mengedar Bubur Lambuk’ di Dataran Keris, di sini, pada Selasa.
Program berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
TPr. Saifuddin turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman.
“Kami di Alor Gajah mengucapkan selamat pulang dan semoga Aidilfitri kali ini disambut dalam suasana ceria, harmoni serta penuh keberkatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


