
MELAKA TEROKA KERJASAMA DENGAN PENGENDALI PELANCONGAN PREMIUM JERMAN
AYER KEROH 4 Mac – Dalam mempertingkat visibiliti Melaka sebagai destinasi pelancongan dunia, Kerajaan Negeri terus melipatgandakan usaha memperkukuh jalinan kerjasama strategik bersama pemain industri dari luar negara.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, usaha itu digerakkan pada penyertaan Melaka dan Malaysia di International Tourismus-Börse Berlin (ITB) Berlin 2026.
Jelas beliau, menerusi pameran perdagangan pelancongan terbesar dan paling berpengaruh di dunia itu, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama pengendali pelancongan premium dari Jerman, Geoplan Touristik GmbH.
Pada pertemuan itu, ujar beliau, pelbagai peluang kerjasama strategik telah dibinangkan termasuk potensi mempromosikan Melaka sebagai destinasi warisan dunia dalam pakej perjalanan ke Malaysia.
“Geoplan Touristik GmbH merupakan antara pengendali pelancongan premium dari Jerman yang berpengalaman luas dalam menawarkan pakej perjalanan jarak jauh ke destinasi Asia, Afrika dan Amerika Latin.
“Syarikat ini terkenal dalam segmen tailor-made luxury travel serta mempunyai rangkaian pelanggan berprofil tinggi yang mencari pengalaman pelancongan autentik dan berkualiti,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Terdahulu, pertemuan di Pavillion Malaysia itu turut dihadiri Ketua Pengarah Tourism Malaysia Amirul Rizal Abdul Rahim, manakala Geoplan Touristik GmbH diwakili Pengarah Urusannya, Tobias Büttner.
Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperluas jaringan kerjasama bersama pengendali pelancongan seluruh dunia, khususnya Eropah dalam memperkukuh kedudukan Melaka di pasaran antarabangsa.
“Usaha seperti ini amat penting dalam menarik lebih ramai pelancong berkualiti tinggi dari Eropah untuk merasai sendiri keunikan sejarah, budaya dan pengalaman pelancongan yang ditawarkan di Negeri Melaka,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


