
RAMAI MASIH SELESA BAYAR ZAKAT SECARA BERSEMUKA
BUKIT KATIL 6 Mac – Meskipun kaedah pembayaran zakat semakin mudah termasuk menerusi perkhidmatan dalam talian, namun masih ramai umat Islam memilih untuk menunaikan kewajipan itu secara fizikal atau bersemuka.
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Zohaime Muhamad Sori berkata, pembayaran zakat kini lebih mudah dan boleh dilakukan melalui laman sesawang www.izakat.com.
Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana pembayar zakat lebih selesa mengucapkan lafaz akad secara bersemuka dengan amil sebelum menunaikan kewajipan tersebut.
“Memang ada yang membuat bayaran melalui laman sesawang izakat, namun masyarakat kita masih belum terbiasa sepenuhnya. Ramai yang lebih gemar membayar secara fizikal kerana mahu melafazkan akad secara bersemuka dengan amil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program ‘Sinar Kasih Ramadan Bersama Anak-Anak Asnaf’ 1447H/2026M anjuran Zakat Melaka dengan kerjasama Sinar Jernih Sdn. Bhd. yang disempurnakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman di Jakel Melaka @ Astana Moda, di sini, semalam.
Hadir sama Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad dan Pengarah Urusan Sinar Jernih Datuk Mohd Said Osman.
Zohaime berkata, pihaknya bagaimanapun terus menggalakkan orang ramai memanfaatkan kemudahan pembayaran zakat secara dalam talian bagi memudahkan urusan terutama pada bulan Ramadan.
“Kemudahan tersebut disediakan sebagai alternatif kepada masyarakat selain pembayaran secara fizikal melalui amil yang dilantik di seluruh negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


