
ZAKAT MELAKA SANTUNI 60 PELAJAR ASNAF BUAT PERSIAPAN AIDILFITRI
BUKIT KATIL 5 Mac – Seramai 60 pelajar asnaf seluruh negeri ini menerima sumbangan bagi membuat persiapan menyambut Aidilfitri menerusi Program Sinar Kasih Ramadan.
Program anjuran Zakat Melaka dengan kerjasama syarikat Sinar Jernih Sdn Bhd itu diadakan bagi membantu pelajar yang memerlukan, sekali gus menceriakan mereka menjelang sambutan hari raya.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata setiap pelajar menerima sumbangan bernilai RM200 yang membolehkan mereka memilih sendiri pakaian raya serta pemberian duit raya.
Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak RM100 disumbangkan oleh Zakat Melaka manakala RM100 lagi adalah infak daripada syarikat Sinar Jernih menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Alhamdulillah melalui program ini kita dapat menyantuni seramai 60 pelajar sekolah terpilih dari seluruh negeri Melaka.
“Mereka diberi peluang memilih sendiri pakaian raya dengan peruntukan yang telah ditetapkan dan kita dapat lihat mereka sangat gembira membuat persiapan Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri Program CSR Sinar Kasih Ramadan Bersama Anak-Anak Asnaf Anjuran Zakat Melaka dan Sinar Jernih Sdn Bhd.
Hadir sama Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Zohaime Muhamad Sori serta Pengarah Urusan Sinar Jernih Sdn Bhd, Datuk Mohd Said Osman.

Dalam pada itu, Rahmad turut mengingatkan umat Islam di negeri ini supaya menunaikan kewajipan membayar Zakat Fitrah sebelum Aidilfitri.
Katanya, pembayaran boleh dilakukan melalui pelbagai kaedah termasuk kepada amil yang dilantik di masjid dan surauselain secara dalam talian menerusi laman web rasmi Zakat Melaka, portal MelakaPay serta perbankan internet.
“Jangan tunggu saat akhir untuk menunaikan Zakat Fitrah sebaliknya bayarlah lebih awal bagi memudahkan urusan agihan kepada golongan asnaf,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


