Sorting by

×

PELANCONG JERMAN KE MELAKA MENINGKAT, PROMOSI DIPERHEBATKAN DI ITB BERLIN 2026

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 5 Mac – Melaka semakin menjadi destinasi pilihan pelancong Jerman dengan jumlah pelawat meningkat daripada 41,950 orang pada 2024 kepada 56,381 orang tahun lalu.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, jumlah itu menunjukkan pertumbuhan positif minat pelancong dari negara itu terhadap negeri bersejarah ini.

“Perkembangan ini membuka peluang untuk memperluas promosi Melaka di peringkat antarabangsa, khususnya kepada pelancong Eropah melalui sesi pertemuan dengan pengendali pelancongan terkemuka.

“Saya menyertai ITB Berlin 2026 salah satu pameran pelancongan terbesar dunia bagi mengadakan sesi pertemuan industri bersama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Tiong King Sing serta pengendali pelancongan terkemuka Jerman,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Abdul Razak berkata, beliau telah mengadakan sesi perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Windrose Finest Travel GmbH Christian Boll dan Pengarah Urusan DIAMIR Erlebnisreisen GmbH Jorg Ehrlich.

“Delegasi Melaka memperkenalkan potensi negeri sebagai destinasi warisan UNESCO, kekayaan budaya dan keunikan gastronomi tempatan yang boleh dimasukkan dalam pakej ‘tailor-made’ untuk pelancong Eropah.

“Sesi pertemuan ini dilihat sebagai platform penting untuk memperluas jaringan kerjasama industri pelancongan Eropah dengan destinasi utama Malaysia termasuk Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

369
Kongsi :
Previous post ZAKAT MELAKA SASAR KUTIPAN RM162 JUTA TAHUN INI
Next post PINTU MASUK ALOR GAJAH ‘BERCAHAYA’ SAMBUT KEPULANGAN ANAK PERANTAU