
TAMAN BOTANIKAL AYER KEROH BERPOTENSI DIBANGUNKAN SEBAGAI TARIKAN EKO-PELANCONGAN
AYER KEROH 5 Mac – Taman Botanikal Ayer Keroh berpotensi dibangunkan sebagai produk eko-pelancongan bandar yang mampu menggamit lebih ramai pelancong untuk menikmati pengalaman alam semula jadi di tengah bandar.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kawasan Forestay seluas kira-kira 0.4 hektar (12 ekar) di taman rekreasi itu mempunyai potensi besar untuk dipertingkatkan sebagai tarikan pelancongan berkonsepkan alam semula jadi.
Katanya, kawasan tersebut boleh dibangunkan dengan pelbagai kemudahan seperti chalet, tapak glamping dan kawasan parkir karavan.
“Kawasan ini boleh dipertingkatkan dengan pelbagai tarikan baharu termasuk menaik taraf chalet, tapak glamping dan karavan sekali gus menawarkan pengalaman bermalam di ‘hutan dalam bandar’.
“Jika dibangunkan dengan baik, ia mampu menjadi tarikan baharu pelancongan di Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan kerja di Taman Botanikal Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron dan Pengarah Perhutanan Negeri Melaka Khirun Nizam.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata lawatan berkenaan turut dibuat susulan aduan yang diterima berhubung kejadian pokok tumbang di kawasan taman tersebut yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan pengunjung.
Tegasnya, aspek keselamatan rakyat tidak boleh dipandang ringan dan tindakan segera perlu diambil bagi memastikan kawasan rekreasi itu kekal selamat untuk dikunjungi.
“Kerajaan Negeri akan terus komited memastikan setiap potensi di negeri ini dapat dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat serta kemajuan Melaka secara mampan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


