Sorting by

×

INSIDEN TULAR KEKECOHAN DI BALAI POLIS, TIADA KEPERLUAN UBAH SOP – SAIFUDDIN

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 5 Mac – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan tiada keperluan untuk menilai semula prosedur operasi standard (SOP) balai polis susulan insiden tular di media sosial kononnya sekumpulan lelaki menyerang Balai Polis Meru, Klang, Selangor pada Isnin lalu.

Beliau berkata, kejadian sebenar melibatkan pergaduhan antara dua kumpulan di luar balai polis sebelum salah satu pihak masuk ke dalam balai untuk membuat laporan.

Menurutnya, kumpulan yang satu lagi kemudian turut masuk ke balai tersebut dan cuba menghalang pihak terbabit daripada membuat laporan sehingga mencetuskan kekecohan di dalam premis berkenaan.

“Tugas utama balai polis adalah menerima aduan. Sekiranya ketika laporan sedang dibuat terdapat pihak lain yang masuk dan cuba mencetuskan kekecohan, tugas polis adalah menenangkan keadaan serta mengawal situasi.

“Itulah SOP yang dilaksanakan oleh anggota polis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai dan Majlis Iftar bersama Menteri Dalam Negeri anjuran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban dan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

Saifuddin berkata, sekiranya terdapat pihak yang cuba menyerang atau menghalang individu daripada membuat aduan, polis perlu segera menangani keadaan tersebut.

“Pasukan polis sememangnya terlatih untuk mengendalikan situasi seperti ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan dakwaan kononnya berlaku serangan terhadap balai polis adalah tidak tepat dan tidak bertanggungjawab.

Katanya, penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial boleh menimbulkan kekeliruan serta keresahan dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata setakat ini lapan lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 44 tahun ditahan dalam tiga siri tangkapan berasingan berhubung kejadian tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

523
Kongsi :
Previous post TAMAN BOTANIKAL AYER KEROH BERPOTENSI DIBANGUNKAN SEBAGAI TARIKAN EKO-PELANCONGAN 
Next post MELAKA IKTIRAF KEPEDULIAN BADAN KORPORAT TERHADAP ASNAF